Presiden Indonesia, Jokowi antara individu yang begitu gembira selepas melihat Sang Garuda mencipta kejutan untuk melakar kemenangan tipis 1-0 mengatasi gergasi Asia Tenggara, Vietnam.
Pada aksi semalam, Indonesia berjaya mencipta kemenangan pertama mereka dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila jaringan tunggal daripada Egy Maulana Vikri memastikan tiga mata sulung menjsdi milik Sang Garuda.
Jokowi yang turut berada di Stadium Utama Gelora Bung Karno ketika itu tampil begitu gembira akan keputusan tersebut sehingga beliau meluahkannya sendiri menerusi media sosial Instagram.
Jelas Jokowi, peluang Indonesia kini untuk menyertai saingan Piala Dunia semakin terbuka selepas melihat kejayaan Sang Garuda untuk mengatasi Vietnam sambil mengharapkan ramai berdoa supaya keputusan positif terus dilakar pasukan itu.
“Mimpi kita untuk beraksi dalam saingan Piala Dunia kini semakin terbuka, selamat! Ayuh kita semua doakan dan beri semangat supaya kemenangan juga dapat diraih Sang Garuda saat beraksi di gelanggang Vietnam,” kata Jokowi.
Pada aksi tersebut, Indonesia tampil dengan rombakan begitu besar dengan membabitkan ramai muka baharu dalam kalangan pemain warisan didaftarkan.
Aksi pertahanan warisan baharu mereka iaitu Jay Idzes antara paling banyak menerima pujian kerana ketenangan beliau untuk mematahkan siri serangan lawan selain mampu mencipta hantaran-hantaran berkualiti.
Malah, kelibat pemain tempatan seperti Egy Maulana Vikri, Witan Sulaeman, serta Marselino Ferdinan juga dianggap cukup menyakinkan untuk menjadi kunci kekuatan utama Sang Garuda.
Bawah kendalian Shin Tae-yong, Indonesia sudah pun mula mempamerkan kualiti mereka di pentas saingan Piala Asia 2023 lalu di Qatar apabila pasukan itu mampu melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.
Selain itu, mereka juga berjaya mencipta kemenangan sulung di saingan tersebut ketika menewaskan Vietnam menerusi keputusan 1-0 di peringkat kumpulan hasil jaringan tunggal Asnawi Mangkualam.
Secara keseluruhan, pasukan tersebut menjadi antara paling aktif kini dalam menaikkan bakat-bakat muda berkualiti serta pada masa sama merekrut seberapa ramai pemain mempunyai pertalian darah bersama Indonesia untuk didaftarkan.
Kemenangan aksi ketiga saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu menyaksikan Indonesia kini berada di tangga ketiga peringkat Kumpulan F dengan memperoleh empat mata secara keseluruhan.
Aksi seterusnya menyaksikan Indonesia bakal beraksi di My Dinh untuk sekali lagi menghadapi cabaran Vietnam bagi perlawanan keempat peringkat kumpulan.