Inspirasi Johor FA 1991, Mampukah JDT Bawa Pulang Piala Malaysia?

Bola sepak di negeri Johor telah mengalami banyak perubahan positif sejak revolusi cetusan DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengambil tempat.

Kesungguhan TMJ untuk mengangkat martabat bola sepak negeri Johor tidak pernah menjadi omongan kosong. Deretan kejayaan telah dicapai oleh kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hasil kerja keras Baginda.

Intipati pimpinan Baginda penuh dengan visi serta impian untuk melihat bola sepak di Johor; bukan sahaja mengecapi kejayaan secara domestik, malah melangkaui pencapaian yang pernah dikecapi oleh mana-mana pasukan bola sepak profesional dari Malaysia.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

4 kejuaraan Liga Super secara berturut-turut sejak 2014, juara Piala FA Malaysia pada 2016, dan muncul sebagai pasukan pertama dari Asia Tenggara yang bergelar juara Piala AFC pada 2015, cukup untuk menjelaskan dominasi JDT sejak 2013.

Kejayaan JDT di peringkat domestik dan Asia terus mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak yang kagum akan struktur dan model bola sepak di JDT.

Malah JDT turut memiliki sistem pengurusan yang lengkap dengan ciri-ciri sebuah kelab bola sepak profesional bertaraf dunia- sesuatu yang dijadikan dambaan setiap penyokong bola sepak di Malaysia untuk FA negeri masing-masing.

Sejarah bola sepak negeri Johor

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) ditubuhkan pada 29 Disember 1955, dan berpusat di Kluang Johor pada awal kemunculannya.

Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos adalah gelanggang kepada pasukan bola sepak profesional pertama daripada Johor, dikenali sebagai Johor FA,

Stadium berkapasiti 30,000 penonton tersebut dirasmikan pada 1964 oleh Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos.

Kredit: Utusan Online

Sejak daripada itu, stadium berkenaan telah menjadi saksi kepada deretan kejayaan bola sepak negeri Johor.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi oleh pengikut bola sepak negeri Johor sebelum era JDT mewarnai persada bola sepak tanah air, sudah tentunya ialah dalam pertandingan paling berprestij di Malaysia, iaitu Piala Malaysia.

Sejak ditubuhkan, Johor FA pernah melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak 3 kali.

Kredit: Pemilik gambar

Mereka muncul juara pada 1985, menundukkan Kuala Lumpur 2-0, namun tewas dalam perlawanan akhir pada musim berikutnya kepada Selangor.

1991 menyaksikan Piala Malaysia kembali ke negeri Johor. Musim tersebut juga merupakan musim terakhir Piala Malaysia singgah ke bumi Johor.

Johor FA 1991

Skuad Johor pada 1991 adalah antara skuad terbaik yang pernah mereka miliki.

Di hadapan gawang, mereka memiliki Hassan Miskam. Kemudian skuad Johor turut diperkuatkan dengan beberapa pemain tempatan seperti Sazali Nasir, Nasaruddin Atan, Roslan Hamid, Sani Osman, Khalid Shahdan, Nasir Yusof, Salehan Mohd Som dan juga Annuar Abu Bakar.

Kredit: Pemilik gambar

Johor FA turut diperkuatkan dengan 3 tonggak import berbisa, terdiri daripada Ervin Boban (Croatia) dan juga Abbas Saad serta Alistair Edwards daripada Australia.

Abbas Saad dan juga Alistair Edwards merupakan bekas pemain skuad remaja kebangsaan Australia.

Manakala Boban adalah penyerang import yang dikekalkan sejak 1989, pernah menolak tawaran untuk beraksi di Austria semata-mata untuk terus setia bersama Johor.

Kredit: Johor91.blogspot

Sepertimana gandingan Cabrera-Ghaddar-Guerra yang bersama JDT pada hari ini, gandingan Abbas-Boban-Alistair turut digeruni oleh pertahanan lawan pada era tersebut.

Skuad Johor FA pada ketika itu turut dibimbing oleh Michael Urukalo yang didatangkan khas daripada Australia.

Piala Malaysia 1991

Pada 1991, bola sepak Malaysia masih berada pada era Semi Pro. Liga pada waktu itu dijalankan melalui format dua divisyen.

Untuk melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia, 6 pasukan teratas dari Divisyen 1 dan 2 pasukan teratas dari Divisyen 2 akan layak secara automatik.

Johor FA layak secara merit sebagai juara Liga Divisyen 1 pada musim tersebut, bersama-sama 5 lagi pasukan negeri iaitu Pahang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu.

Kredit: johor91.blogspot

Negeri Sembilan (juara Divisyen 2) dan Sarawak (naib juara Divisyen 2) melengkapkan 8 pasukan yang kemudiannya diundi kepada dua kumpulan.

Di dalam Kumpulan A, Kuala Lumpur berada di kedudukan teratas kumpulan, diikuti dengan Pahang sebagai pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 1991.

Johor menduduki tangga ke-2 Kumpulan B, di belakang Selangor yang mengumpul jumlah mata yang sama, namun dibezakan dengan perbezaan jaringan.

Pada era itu, kiraan mata bagi setiap kemenangan ialah 2 mata. Berbeza dengan kiraan mata pada hari ini yang memberikan 3 mata bagi setiap kemenangan.

Kredit: Johor91.blogspot

Di separuh akhir, Selangor dengan mudah menoktahkan cabaran Pahang dengan 2 kemenangan secara timbal balik, untuk mara ke perlawanan akhir dengan agregat 6-0.

Manakala Johor berbekalkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Kuala Lumpur di Larkin, tewas 2-1 di perlawanan kedua. Namun ia sudah memadai untuk Johor mara dengan agregat 4-3.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1991, menemukan Selangor dan Johor. Ia bagaikan perlawanan akhir ulangan pada 1986, yang semestinya Johor ingin lupakan.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1991 

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1991 diadakan di Stadium Merdeka, gelanggang keramat yang sinonim dengan perlawanan-perlawanan penting di dalam negara pada ketika itu..

Johor turun dengan agak pincang tanpa kelibat penyerang utama mereka Abbas Saad. Penyerang Australia itu adalah pemenang kasut emas dengan 11 gol dalam pertandingan Liga Divisyen 1 musim tersebut.

Tanpa kelibat Abbas, Johor sudah pasti bergantung harap kepada gandingan Alistair Edwards dan juga Ervin Boban untuk memburu gol.

Kredit: Pemilik gambar

Skuad Selangor pada 1991 turut memiliki barisan pemain yang ampuh. Zainal Nordin, Ismail Ibrahim bersama dua lagi pemain import, Robert Dunn dan juga bekas pemain skuad olimpik Czechoslovakia, Pavel Korejcik antara pemain yang dimiliki Selangor.

Di hadapan gawang, Selangor turut mempertaruhkan penjaga gol Czechoslovakia yang pernah beraksi di Piala Dunia 1982, Karel Stromsik.

Tekad untuk membalas dendam atas kekalahan kepada lawan yang sama pada 1986, Johor tidak mahu berputih mata pada kali ini.

Kredit: Johor91.blogspot

Minit ke-11 perlawanan, Boban menyambar hantaran lintang Alistair Edwards untuk memberikan pendahuluan kepada 1-0 kepada Johor.

Namun ketika perlawanan mamasuki minit ke-8 pada babak kedua perlawanan, percubaan leret Ghani Ali berjaya menerjah jaring untuk kedudukkan terikat 1-1.

Skripnya hampir sama seperti pada perlawanan akhir 1986, apabila Selangor bangkit ketinggalan 1 gol sebelum membelasah Johor 6-1. Namun kali ini, Boban bertekad ia tidak akan berlaku lagi.

Kredit: Pemilik gambar

Kesilapan pemain pertahanan Selangor yang terleka kerana asyik menyerang untuk memburu gol pendahuluan dihukum oleh Boban.

Kesilapan Reman Ragunathan memberi ruang kepada Sani Othman untuk menghantar bola lintang, sebelum ianya kemas disempurnakan oleh Ervin Boban pada minit ke-60 perlawanan.

Kredit: johor91.blogspot

Selepas itu corak permainan Johor bertambah yakin.

Mereka lebih tenang menyerap asakan lawan dan jentera tengah yang dikemudi oleh The Professor Nasir Yusof turut menampakkan gerakan-gerakan tersusun dan mengancam.

Kredit: Pemilik gambar.

Malam gemilang bola sepak Johor disudahkan oleh Ervin Boban dengan jaringan hatrik, apabila menyempurnakan hantaran cantik  hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti untuk Johor mencatat kemenangan 3-1.

Wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan Mejar Kamaruddin Haji Shakari, dan Johor Piala Malaysia sah menuju ke bumi Johor buat kali ke-2 dalam sejarah gemilang pertandingan tersebut.

Bapa Pembangunan Bola Sepak Johor

Kejayaan Johor pada ketika itu bukan sekadar kerana kehebatan barisan pemain dan penyokong yang tidak pernah berbelah bahagi ketika memberikan sokongan.

Jasa dan sumbangan pengurus pasukan yang memiliki corak pengurusan yang mantap dan profesional juga adalah penyumbang utama kepada kejayaan bola sepak di negeri Johor.

Kredit: JOHOR Southern Tigers

Pengurus yang dimaksudkan ialah Allahyarham Datuk Suleiman Mohd. Noor yang sentiasa bekerja keras memastikan bola sepak Johor mampu bersaing dan berdiri sama tinggi dengan gergasi bola sepak tanah air yang lain pada era itu.

Datuk Suleiman Mohd. Noor yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Johor menghembuskan nafas terakhir pada 7 Ogos yang lalu kerana uzur, dan jasa Allahyarham pasti akan dikenang oleh setiap pelusuk pencinta bola sepak di negeri Johor sehingga ke hari ini.

Rumusan: Penerus Legasi

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa JDT yang ada pada hari ini adalah kesinambungan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Suleiman Mohd. Noor untuk bola sepak Johor satu masa dahulu.

Namun demikian, perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 yang akan berlangsung pada 4 November nanti menampilkan senario yang berbeza berbanding 1991.

Liga Super
Kredit: JOHOR Southern Tigers

Di bawah pimpinan TMJ yang dinamik, JDT tampil sebagai kuasa bola sepak baharu tanah air dari negeri Johor; menggondol piala demi piala, kejuaraan demi kejuaraan.

Usah kita angkuh untuk mengakui. Penyokong negeri mana yang tidak iri hari dengan apa yang dimiliki oleh JDT?

Namun sebagai sebuah kelab bola sepak yang berjaya, tidak ada pasukan di dunia yang sanggup tewas, apatah lagi di perlawanan akhir.

Gelaran Raja Bola mungkin agak subjektif dalam konteks bola sepak di Malaysia. Namun taruhan di perlawanan akhir Piala Malaysia nanti ialah maruah, kesinambungan sesebuah legasi, cita-cita, impian dan juga pertunjukan sebuah dominasi dinasti bola sepak tanah air.

Berinspirasikan kejuaraan Piala Malaysia 1991 oleh Johor FA, mampukah JDT membawa kembali Piala Malaysia ke bumi Johor?

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN