Detik sukar yang dialami legenda hidup Chelsea, John Terry pada 21 Mei 2008 pastinya akan terus bermain di mindanya selepas sepakan penalti kelima yang diambil pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2007/08 tersasar di sebelah kiri pintu gol Manchester United.
Lebih menarik untuk diperkatakan, sekiranya Terry berjaya menyempurnakan sepakan tersebut, Chelsea akan menjulang trofi yang pada ketika itu masih belum pernah dimenangi kelab dari London itu.
Hal ini kerana Cristiano Ronaldo yang mengambil tendangan ketiga buat Manchester United gagal untuk melakukan tugasan dengan baik selepas Petr Cech cemerlang membaca arah sepakannya lantas membuatkan bintang dunia itu menitiskan air mata kekecewaan.
Manakala Micheal Ballack, Juliano Belleti, Frank Lampard dan Ashley Coley pula masing-masing melakukannya dengan cukup baik.
Mengulas mengenai detik mengecewakan dalam karier profesionalnya itu, Terry mengakui bahawa beliau sebenarnya berlatih untuk melakukan sepakan panenka sebagai persediaan sekiranya perlawanan berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.
”Pada peringkat awal sehingga ke akhir anda mengambil sepakan penalti dan ia telah menjadi seperti rutin dan berjalan dari tengah padang.”
”Sudah menjadi kebiasaan buat kami dengan melakukan latihan sepakan penalti selama dua minggu [sebelum perlawanan akhir] dan sepatutnya saya menendang ke kawasan tengah seperti panenka,” ujar Terry menurut laporan dikeluarkan Goal.
Kegagalan Terry menyempurnakan sepakan itu menyaksikan Anderson, Ryan Giggs dan Salomon Kalou tidak berdepan masalah untuk menjaringkan gol dan kejuaraan menjadi milik Manchester United selepas Edwin Van Der Saar muncul wira dengan menepis percubaan Nicolas Anelka.
Kekecewaan itu terubat pada musim 2011/12 apabila Chelsea berjaya menundukkan Bayern Munich di Allianz Arena, juga menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan kemenangan 4-3.
Terry bagaimanapun hanya menyaksikan perlawanan tersebut di tempat duduk penonton selepas beliau dilayangkan kad merah pada aksi separuh akhir bertemu Barcelona di Nou Camp.
Kredit featured images: Jamie McDonald/Getty Images