John Terry berkata bahawa bekas pengurus yang pernah membimbing beliau, Jose Mourinho merupakan inspirasi kepada beliau untuk menceburi bidang kejurulatihan selepas persaraan satu hari nanti.
Bekas kapten England itu turut mendedahkan bahawa beliau turut mencatatkan nota penting mengenai kaedah latihan oleh Mourinho ketika di bawah bimbingan pengendali dari Portugal itu.
Mourinho mulai membimbing Chelsea buat pertama kali pada musim panas 2004, dan lantas membawa Chelsea bergelar juara Liga Perdana Inggeris selama dua musim berturut-turut.
Era tersebut yang turut menyaksikan Terry tampil sebagai kapten pasukan, menyaksikan Chelsea turut meraih kejuaraan Piala Liga dan juga Piala FA.
Terry turut mendedahkan kepada coachesvoice.com bahawa beliau sangat kagum dengan sikap teliti Mourinho, dan kaedah yang diguna pakai oleh pengurus Manchester United itu untuk memberi motivasi kepada pemain.
Terry dipetik sebagai berkata:
“Mourinho mempunyai sesuatu yang istimewa. Begitulah saya mengingati beliau. Pada ketika itu, saya mungkin tidak mampu menjelaskan kepada anda mengapa. Tetapi hari ini, saya jelas mengapa ianya sedemikian.”
“Selepas beberapa sesi latihan, saya mulai mendapatkan buku nota dan mulai mencatatkan beberapa perkara. Antaranya ialah, perkara yang diberitahu kepada pemain ketika perjumpaan, atau pun ketika sidang media.”
“Adakalanya, saya mencatatkan seluruh intipati sesi latihan selepas latihan berakhir.”
“Rakan-rakan yang lain juga bertanya: ‘Apa yang kau lakukan? Ia adalah kerana tidak ada pemain lain yang melakukan apa yang saya lakukan. Ia adalah kerana saya sangat tertarik dengan output yang diberikan oleh Mourinho.”
Terry turut menambah:
“Selesai sesi latihan, setiap pemain hanya akan bercakap mengenai sesi latihan yang mengasyikkan. Ia adalah antara sesi latihan terbaik yang pernah kami lalui di Chelsea.”
“Saat Mourinho menyertai Chelsea, saya tahu bahawa satu hari nanti, saya mahu menceburkan diri ke dalam bidang kejurulatihan. Ketika bergelar pemain, saya perlu memperagakan aksi di atas padang.”
“Saya tidak pernah memikirkan mengenai sesi latihan yang akan dilalui, jenis latihan yang akan dijalankan, saiz padang yang yang akan digunakan, dan pelbagai perkara lain. Kemudian, Mourinho memperkenalkan sesuatu yang istimewa. Ia adalah persiapan untuk menghadapi perlawanan.”
Terry turut memuji keupayaan Mourinho menguruskan pemain-pemainnya, dan mengambil contoh bagaimana Mourinho pernah tidak mempedulikan beliau ketika kecederaan, untuk mendorong beliau pulih secepat mungkin.
“Mourinho sangat jelas dengan apa yang dilakukannya. Beliau tahu bagaimana untuk memberi peringatan. Begitu juga ketika beliau menghamburkan pujian selepas aksi yang cemerlang di atas padang.”
“Beliau sering mengingatkan diri saya, Frank Lampard, Didier Drogba, Petr Cech dan AShley Cole, bahawa kami adalah pemain terbaik dunia. Dan anda memerlukan motivasi sebegitu untuk tampil yakin di dalam perlawanan.”
“Kami mungkin bukan kelompok pemain terbaik dunia pada ketika itu. Tetapi Mourinho membuatkan kami percaya ianya sebegitu.”
“Itulah Jose Mourinho yang saya kenal. Beliau adalah jurulatih terbaik yang saya pernah bekerja bersama, dan juga inspirasi mengapa saya mahu menceburkan diri ke dalam bidang kejurulatihan selepas bersara sebagai pemain.”