Quantcast

BERITA

Keputusan Menentang Malaysia Tidak Penting, Jurulatih Nepal Punyai Perancangan Lain

Pengendali Nepal, Johan Kalin menegaskan yang keputusan menentang Malaysia pada aksi persahabatan malam ini tidak penting tetapi mahu para pemainnya menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikalnya serta organisasi dalam padang.

Johan Kalin yang berasal daripada Sweden itu baharu dilantik selaku ketua jurulatih Nepal bermula pada awal Januari lalu dan dua perlawanan telah diharunginya menyaksikan mereka tewas 0-1 dan seri tanpa jaringan ke atas lawan yang sama iaitu Kuwait.

“Keputusan perlawanan tidak penting ketika ini. Kami mahu menghasilkan gaya permainan yang terbaik.

“Saya mahu pemain-pemain selesa dengan pendekatan taktikal dan memperbaiki organisasi mereka di dalam padang,” ujar Johan Kalin yang dipetik daripada portal The Star.

“Aksi-aksi persahabatan ini akan membantu kita bersedia untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia. Ia sukar kerana kita bakal berdepan pasukan yang ranking lebih tinggi,” tambahnya lagi.

Selain itu, Johan Kalin turut menzahirkan rasa terkejutnya terhadap ranking skuad kebangsaan apabila berada di bawah Nepal yang baginya banyak kekurangan dari segi kelab, liga dan prasarana.

Nepal berada di kedudukan ke-161 dunia, sementara Harimau Malaya berada 7 anak tangga di bawah mereka.

“Saya sedikit terkejut apabila melihat ranking FIFA. Malaysia memiliki liga yang besar. Ia kompetitif dan ramai pemain ternama bermain,” ujar Johan Kilin mengenai ranking skuad negara.

India menentang Nepal dalam Sukan Asia Selatan 2016. Sumber: Sports24Hour.

“Ranking memang agak mengejutkan, tetapi kita tidak akan mengambil mudah menentang Malaysia. Kita juga akan beraksi menentang Taiwan selepas ini,” ujar pengendali itu lagi.

Menurut pengendali berusia 41 tahun itu, Malaysia sebenarnya bukan pasukan yang lemah dan ranking bukanlah segalanya jika melihatkan keputusan menentang Afghanistan dan Maldives.

“Kami mengharapkan tentangan yang baik daripada Malaysia dan saya merasakan Malaysia lebih baik berbanding daripada jangkaan orang ramai,” jelasnya lagi kepada pihak media.

Selepas perlawanan pemanas badan menentang Nepal pada malam ni, skuad negara akan melalui pusingan 1 kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun depan. Kedua-dua perlawanan tersebut bakal berlangsung di kandang Harimau Malaya iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil.