Joe ‘The Boxer’ Lewis, Lelaki Di Sebalik Kebangkitan Tottenham Hotspur

Seorang penulis bebas, Jamil Racync Hasan berkongsi satu artikel menarik tentang lelaki yang bernama Joe Lewis yang menjadikan Spurs berdiri di mana mereka ada sekarang ini. Ikuti penulisan beliau.

Joe ‘The Boxer’ Lewis, Lelaki Di Sebalik Kebangkitan Tottenham Hotspur

Musim Liga Perdana Inggeris 2016-2017 menutup tirainya dengan kemenangan bergaya oleh pasukan Chelsea FC.

Namun turut menarik perhatian ialah bagaimana sebuah kelab yang dibarisi skuad termuda dalam liga, malah tidak berbelanja besar, berjaya memberi cabaran kepada penyandang juara hampir di sepanjang musim berlangsung.

Menewaskan beberapa kelab powerhouse lain yang mempunyai dana lebih besar dan diuruskan oleh pengurus lebih ternama!

Kelab itu bernama Tottenham Hotspur (Spurs).

Bingkisan sejarah

Spurs (ditubuhkan pada 1882) bukanlah kelab bolasepak yang menjadi pilihan popular jika dibandingkan dengan Liverpool, Man. United mahupun musuh tradisi mereka, Arsenal.

Kejayaan terbaik mereka berlaku lama dahulu pada musim 1960-1961 apabila Spurs muncul sebagai kelab pertama pada kurun ke-20 yang menjuarai Liga dan Piala FA secara serentak (digelar Double).

Spurs juga merupakan kelab pertama dari British yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 1963. Namun selepas itu, Spurs tidak lagi menonjol sebagai antara kuasa bolasepak di Eropah mahupun di England.

Secara konsisten, dekad terakhir ini kita dapat menyaksikan momentum kehebatan Spurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris, di samping kepintaran mereka dalam urusniaga perpindahan pemain serta pengurusan kewangan bijak yang mengkagumkan. Spurs mula menjadi perhatian para peminat bolasepak dunia semula.

Siapakah di sebalik kebangkitan Spurs ini?

Spurs mula menunjukkan peningkatan kualiti semenjak diambil alih oleh sebuah syarikat pelaburan iaitu English National Investment Company (ENIC) pada awal zaman millenium.

Syarikat yang dipengerusikan oleh seorang usahawan muda bernama Daniel Levy berjaya mengubah Spurs menjadi sebuah kelab bolasepak yang dihormati semula. Tetapi tahukah anda bahawa Levy hanyalah ‘frontman’ ENIC.

Pemegang saham terbesar syarikat ini – juga mentor kepada Levy – merupakan seorang tokoh korporat terkemuka dari British yang bernama Joe Lewis.

Beliau digelar ‘The Boxer’ sempena dengan nama peninju legenda Joe Louis dek kehebatan beliau dalam dunia keusahawanan di peringkat antarabangsa.

Siapakah Joe ‘The Boxer’ Lewis?

Joe Lewis dilahirkan di sebuah kafe milik keluarganya di timur London pada 1937. Ketika berusia 15 tahun, beliau telah berhenti sekolah untuk bekerja secara sepenuh masa di kafe tersebut.

Bakat beliau dalam dunia perniagaan terbukti selepas itu apabila berjaya memajukan kafe keluarganya sehingga akhirnya kafe tersebut telah terjual dengan nilai £30Juta pada tahun 1979. Sebuah jumlah yang sangat besar pada waktu itu!

Selepas itu atas faktor penjimatan cukai, beliau telah berpindah ke Bahamas (sehingga kini) dan mula memperkembangkan lagi perniagaannya menerusi urusniaga matawang dan hartanah. Taikun ini dikhabarkan memiliki rentetan hartanah di Amerika, Argentina malah sehingga ke Bulgaria.

Penglibatan Joe Lewis dalam kancah bolasepak bermula pada penghujung era 90-an apabila beliau bersama protege beliau, Daniel Levy dan anaknya Charlie menubuhkan ENIC, yang memberikan fokus terhadap pelaburan perniagaan terhadap kelab bolasepak dan katering.

Charlie diberi mandat bagi perniagaan katering dan Levy pula bagi perniagaan yang melibatkan bolasepak.

Spurs bukanlah kelab pertama yang dibeli oleh ENIC. Pada awalnya, ENIC telah membeli kelab Slavia Prague FC (Crotia), Vicenza FC (Itali), AEK Athens (Greece), Rangers (Scotland) terlebih dahulu dan kemudian barulah membeli pegangan saham Sir Alan Sugar di Spurs, lantas menjadi pemilik yang baharu.

Sebelum pengambil alihan Spurs, Joe Lewis terlebih dahulu dikaitkan dengan kelab Manchester United.

Maka bermulalah kebangkitan konsisten dari Spurs. Di bawah seliaan Joe Lewis, Levy berjaya mengubah kelab Spurs dari sebuah kelab sederhana yang kekurangan dana kepada kelab kaya yang kini konsisten menjadi antara pencabar utama kejuaraan liga setiap musim. Kemuncaknya, mereka telah memenangi Piala Liga pada musim 2008.

Pelbagai kejayaan di luar padang lebih menjadi perhatian apabila Spurs dilihat begitu mahir dalam menggilap bakat pemain muda sehingga menjadi pemain bertaraf dunia.

Pada 2013, Spurs memecahkan rekod dunia perpindahan pemain menerusi penjualan Gareth Bale kepada Real Madrid pada nilai hampir £90 juta. Rekod yang hanya dipecahkan Paul Pogba pada musim 2016/17.

Bale hanya dibeli beberapa tahun sebelum itu pada harga £5 juta. Sebelum itu mereka juga berjaya mengaut keuntungan tinggi menerusi penjualan Michael Carrick, Berbatov, Luca Modric dan ramai lagi.

Carric – Keane / Photo by Steve Wake – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Skuad muda Spurs juga dilihat begitu meyakinkan dengan kemunculan beberapa bintang muda baru yang semakin berkembang baik seperti Harry Kane, Delle Alli, Danny Rose dan Trippier.

Dengan momentum prestasi permainan dan kewangan yang positif, Spurs mengorak langkah ke hadapan menerusi pembinaan padang latihan antara tercanggih di Eropah (digelar state-of-the-art) dan juga pembinaan stadium baru bernilai £800 juta yang kini sedang rancak dalam pembinaan di tapak sama dengan White Hart Lane.

Stadium White Hart Lane yang baharu.

Joe Lewis kini dianggarkan memiliki harta bernilai £4.5Billion dan khabar terbaru bertiup kencang Spurs kini ingin dibida oleh sebuah syarikat pelaburan milik Mark Zuckerberg dengan nilai £1 billion, namun Lewis menolak bidaan tersebut dengan nilaian harga sekali ganda!

Sesuatu yang pemilik kelab boleh contohi dari Joe Lewis adalah menerusi perbelanjaan beliau yang cukup berhemat, begitu merendah diri namun cukup mengambil berat dengan perjalanan kelab bolasepak miliknya.

Michael Dawson – bekas kapten Spurs – menceritakan detik perbualan beliau bersama Joe Lewis di kapal mewah Aviva milik Joe pada 2013,

“Saya tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini. Beliau seorang manusia yang merendah diri dan kita boleh berbicara apa saja dengannya.”

“Apa yang lebih menggembirakan, beliau begitu mengambil berat dengan perjalanan kelab. Beliau tahu apa saja perkembangan mengenai kelab dan mengingati semuanya. Saya terkejut!”

Dengan kombinasi kepintaran antara Joe Lewis bersama protegenya Daniel Levy, serta kemampuan taktikal hebat pengurus muda Mauricio Pochettino, Spurs kini berada di landasan terbaik untuk terus maju dan gemilang.

To Dare Is To Do

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN