Joe Cole mengumumkan persaraan beliau daripada bola sepak profesional pada usia 37 tahun. Beliau menikmati karier yang hebat terutama sekali ketika bersama Chelsea. Joe Cole juga pernah mewakili England dalam 2 temasya Piala Dunia.
Joe Cole yang kini bermain untuk Tampa Bay Rowdies menganggap masanya sudah tiba untuk beliau menggantung but.
Belau berkata: “Selepas 20 tahun bergelar pemain profesional, masanya sudah tiba untuk saya menggantung but. 716 perlawanan profesional, 104 gol dan 7 kelab yang hebat – West Ham, Chelsea, Liverpool, Lille, Aston Villa, Coventry City dan Tampa Bay Rowdies.”
“Begitu juga dengan rasa bangga bermain untuk England. Ianya mimpi menjadi kenyataan dan ianya perkara yang paling besar di atas segalanya.”
Cole memulakan karier dengan pasukan remaja West Ham yang memenangi Piala Intertoto Uefa pada 1999. Joe Cole kemudian dipancing oleh Chelsea yang ketika itu mengalami revolusi biru di bawah Roman Abramovich.
Ketika di Chelsea, nama Joe Cole meningkat naik. Beliau antara no.10 yang paling digeruni. Pemain no.10 moden yang berjaya memberikan perbezaan kepada sistem permainan di Chelsea dan juga England. Beliau berjaya memenangi 3 EPL, 2 Piala FA dan Piala Liga bersama Chelsea.
Di Chelsea Cole menjadi pemain kesukaan peminat kerana kualiti dan komitmen beliau di atas padang. Joe Cole ketika itu bersaing hebat dengan beberapa nama besar lain di dalam pasukan. Namun setiap kali beraksi, beliau kerap memberikan aksi terbaik.
Pada 2010 beliau berpindah ke Liverpool. Karier beliau di Anfield tidak begitu indah dan dibelenggu beberapa siri kecederaan. Beliau dipinjamkan ke Lille pada 2011/12. Selepas itu beliau berpindah ke West Ham dan kemudiannya Aston Villa – diikuti Coventry City.
Pada 2016, Joe Cole menyertai Tampa Bay Rowdies. Beliau menjadi finalis NASL Golden Ball pada 2017 selepas aksi menakjubkan di liga tersebut.
“Ada satu detik penting dalam setiap karier profesional. Salah satunya yang saya miliki adalah ketika saya bermain untuk pasukan remaja West Ham. Ada pemain senior ketika itu berpesan kepada saya: ‘Nikmati sepuas-puasnya permainan ini, wahai anak muda. Semua in akan berakhir dalam sekelip mata, dan kamu akan sangat merinduinya nanti’.”
“Beliau betul. Kata-kata itu bergema lebih daripada ketika saat yang mereka menyatakannya pada masa itu. Saya cuba bermain dan mengikuti nasihat beliau setiap hari – kerana menjadi pemain bola sepak profesional adalah penghormatan yang tiada tandingannya.”
“Terlalu ramai orang membantu saya sepanjang karier. Saya tak mahu menyebut nama mereka satu-persatu kerana bimbang akan ada nama yang akan terlepas. Untuk pengurus, jurulatih, staf sokongan, dan kesemua mereka yang pernah menolong saya selama ini; terima kasih.:
“Perkara yang paling saya suka ketika menjadi pemain bola sepak profesional adalah kembali ke bilik persalinan dengan rasa gembira selepas menang. Ianya sukar untuk mengulanginya lagi tetapi saya akan sentiasa mengingati kesemua bekas rakan sepasukan yang pernah berkongsi pengalaman dengan saya.”
“Saya berasa sangat bertuah – pernah berman dengan beberapa pemain terbaik pada era saya dan lebih bernasib baik lagi kerana mampu bersahabat dengan mereka.”
“Sebagai seorang penyokong saya suka menonton bola sepak dengan sepenuh hati, pemain yang berskil dan itulah yang menjadi inspirasi saya.”
“Saya masih ingat ketika saya duduk di bangku [stadium] untuk menonton perlawanan. Saya mahu meniru aksi pemain di dalam padang. Saya kemudiannya berharap dapat melakukannya untuk tontonan para penyokong yang menyaksikan saya beraksi kelak.”
“Memenangi trofi di Chelsea sememangnya perkara yang istimewa untuk saya. Memori-memori itu akan kekal besama saya selama-lamanya. Saya berkongsi detik itu dengan keluarga, isteri saya – Carly, dan 3 orang anak kami yang hebat, ayah, George, ibu, Susan, adalah perkara yang paling saya banggakan.”
“Saya tak sabar untuk menempuh masa hadapan, saya mahu terus terlibat dalam bola sepak. Saya rasa saya mampu memberikan banyak perkara sebagai seorang jurulatih dan menikmati tanggungjawab ini bersama dengan Rowdies.”
“Saya mahu berkongsi pengalaman saya dengan para pemain muda – untuk mereka mencapai impian mereka, seperti mana yang pernah saya kecapi. Itu adalah semangat saya.”
“Apa sahaja yang bakal berlaku selepas ini, saya harap 2 dekad daripada sekarang akan menjadi istimewa seperti mana 20 tahun saya sebagai pemain profesional. Sekali lagi, terima kasih tak terhingga kepada kesemua yang pernah membantu saya sepanjang perjalanan ini.”
Selamat bersara kepada Joe Cole. Untuk pembaca semuanyaBOLA, apa momen yang anda ingati tentang Joe Cole?