Quantcast

BERITA

Joao Felix Idam Cipta Gemilang Seperti Cristiano Ronaldo

Pemain muda berbakat besar yang kini bersama pasukan Atletico Madrid, Joao Felix menyatakan hasratnya untuk mengikuti jejak pemain terbaik dunia yang juga rakan senegaranya iaitu Cristiano Ronaldo.

Bekas pemain akademi Benfica berusia 19 tahun itu tiba di Wanda Metropolitano dengan yuran perpindahan bernilai €126 juta sekaligus menjadikan Joao Felix pemain termahal dalam sejarah perpindahan kelab yang berpangkalan di ibu negara Sepanyol itu.

Penyerang muda itu turut menyinar bersama skuad Portugal yang menyaksikan beliau bersama Ronaldo berjaya menjulang trofi kejuaraan Liga Negara-Negara Eropah pada bulan Jun lepas.

Prestasi pada musim pertamanya bersama skuad senior Benfica menyaksikan beliau telah menjaringkan 20 gol serta menghasilkan 11 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.

“(Cristiano) Ronaldo telah menerima lima trofi anugerah Ballon d’Or yang menjadi impian setiap pemain bola sepak. Sudah tentu saya mahu berjaya seperti beliau”

Felix sebelum ini menjadi buruan beberapa kelab besar di Eropah sebelum menamatkan segala spekulasi dengan menyertai Atletico Madrid. Beliau akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Antoine Griezemann selaku penggempur utama pasukan.

Felix bersetuju untuk menyertai pasukan barunya itu disebabkan kekaguman beliau terhadap kemampuan kelab tersebut menghasilkan penyerang berkualiti dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Nama-nama besar seperti Fernando Torres, Radamel Falcao, David Villa, Mario Mandzukic, Sergio Aguero, Diego Forlan dan Diego Costa ternyata mangujakan Felix untuk berada sebaris mereka semua dalam sejarah kelab.

Atletico Madrid mampu untuk berbelanja besar pada tempoh perpindahan awal musim ini setelah mendapat dana yang mencukupi hasil penjualan beberapa pemain bintang mereka seperti Antoine Griezmann, Rodri dan Lucas Hernandez.

Manakala Juanfran, Diego Godin dan Felipe Luis meninggalkan pasukan selepas masing-masing telah tamat kontrak dan menyertai pasukan baru secara percuma.

Dalam perkembangan lain, pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone tidak begitu gembira dengan beranggapan perbandingan Joao Felix dengan Cristiano Ronaldo sebagai ‘sampah’. Beliau tidak melihat sebarang persamaan corak permainan kedua-dua pemain tersebut di atas padang.

“Realitinya Felix berjaya mengharungi beberapa perlawanan ini dengan baik dan saya gembira dan teruja melihat perkembangan beliau sejak tiba di sini. Kemampuannya untuk mengawal dan membaca permainan menunjukkan kematangan beliau pada usia yang masih muda.”

“Kami di sini komited untuk membantu perkembangan beliau untuk menjadi pemain yang lebih baik dan kuat seperti mana yang diharapkan.”

”Pemain-pemain baru yang lain juga menggembirakan saya apabila masing-masing menunjukkan perkembangan positif dalam memastikan kelancaran pasukan membuat persiapan bagi memulakan musim baru ini.”