Jurulatih Jerman Joachim Low telah memaklumkan kepada Jerome Boateng, Mats Hummels dan Thomas Muller bahawa beliau tidak akan memanggil lagi ketiga-tiga pemain tersebut untuk perlawanan membabitkan skuad kebangsaan.
Boateng dan Hummels kedua-duanya berusia 30 tahun. Manakala Muller pula berusia 29 tahun. Trio Bayern Munich itu memiliki 246 caps keseluruhan sesama mereka, dan merupakan tunjang utama Jerman ketika bergelar juara Piala Dunia 2014.
Namun prestasi Jerman di Piala Dunia 2018 dianggap mengecewakan setelah tersingkir seawal peringkat kumpulan, sebelum turut gagal menampilkan prestasi yang sepatutnya di saingan UEFA Nations League.
“2019 adalah tahun di mana permulaan baru akan mengambil tempat di dalam skuad kebangsaan Jerman.
“Kami mahu pasukan ini berwajah baru dan saya yakin ini adalah langkah yang betul.
“Pemain-pemain baru dan muda akan diberikan ruang yang sepatutnya untuk dibangunkan dan mengambil tanggungjawab,” jelas Low mengenai langkah drastik itu.
Perlawanan terakhir Jerman membabitkan ketiga-tiga pemain beraksi sekali berakhir dengan kekalahan 3-0 kepada Belanda pada 13 Oktober lalu.
Setelah turut ditewaskan Perancis selang beberapa hari kemudian, ini bermakna Jerman tewas enam kali sepanjang kalendar antarabangsa yang lalu. Ia merupakan deretan kekalahan terbanyak yang dialami oleh Jerman. Dua kekalahan berturut-turut kepada Belanda dan Perancis juga pertama kali berlaku sejak 2000.
Muller adalah penjaring ke-9 tertinggi untuk Jerman dengan 38 gol, tampil buat kali ke-100 buat negaranya ketika Jerman seri 2-2 dengan Belanda pada November tahun lalu.
Jerman akan mula beraksi tanpa kelibat ketiga-tiga pemain bermula dengan perlawanan persahabatan menentang Serbia di Wolfsburg pada 20 Mac akan datang, sebelum perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Belanda empat hari kemudian.
Perubahan oleh Low itu turut mendapat maklum balas positif Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman, Reinhard Grindel dengan menyifatkan ia adalah masa yang tepat untuk perubahan dilakukan.