Pertahanan kanan Kuching City, Jimmy Raymond antara pemain tempatan yang kini sedang menunjukkan perkembangan sangat positif buat pasukan tersebut di pentas domestik.
Memulakan karier bersama Sarawak terlebih dahulu, nama Jimmy mula bersinar semenjak beliau menyertai Kuching City pada tahun 2019 dan kekal bersama kelab tersebut sehingga kini.
Perjalanan karier Jimmy pada awalnya boleh dianggap biasa serta kurang diberi tumpuan dalam kalangan pemerhati bola sepak, sehingga musim ini dirinya tampil begitu menyerlah bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.
Beraksi di posisi pertahanan kanan, Jimmy jelas menjadi pilihan utama buat Aidil musim ini serta menawarkan kualiti cukup menyakinkan buat pasukan tersebut.
Memiliki kualiti yang baik untuk menutup serangan lawan serta memberi tekanan cukup agresif sepanjang tempoh 90 minit di atas padang, Jimmy juga mampu membantu posisi serangan menerusi siri larian-larian deras dari bahagian sisi.
Ianya turut dibuktikan pemain tersebut ketika pasukan itu menentang Selangor dalam saingan suku akhir Piala FA 2024/2025 lalu di laman sendiri.
Pada aksi tersebut, Raymond menjadi antara pemain paling rajin untuk membantu serangan serta pertahanan pasukan selain menutup setiap peluang cuba dijelmakan oleh Yohandry Orozco dari sebelah kanan.
Malah, kualiti pemain berusia 28 tahun itu juga turut diakui oleh Aidil Sharin yang menyifatkan Jimmy sebagai wira tidak didendang buat Kuching City kini.
Melihat kepada saingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan bermula beberapa bulan sahaja lagi, ianya mungkin mampu menjadi pentas terbaik buat Jimmy sebenarnya untuk beraksi di pentas antarabangsa buat pertama kali.
Pentas Pestabola Merdeka sebenarnya mampu menjadi medan terbaik buat Kim Pan-gon untuk mencuba beberapa pemain baharu sebagai pelapis bintang utama pada masa hadapan.
Kehadiran Adib Ra’op, Haqimi Azim, dan Engku Nur Shakir pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 lalu menjadi bukti muka-muka baharu mampu memainkan peranan cukup penting jika diberi peluang sepatutnya.
Jika Jimmy mampu mengekalkan prestasi semasa beliau untuk aksi-aksi akan datang, pastinya peluang untuk menyertai kem Harimau Malaya bakal terbuka luas.
Pada pandangan anda, adakah Jimmy mampu untuk mengekalkan prestasi beliau sehingga menarik perhatian Pan-gon untuk aksi antarabangsa seterusnya?