Ketika kualiti pengadilan sering mendapat kritikan hebat peminat bola sepak tanah air, pengadil tempatan terus mendapat perhatian luar apabila menerima jemputan daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan induk bola sepak negara itu telah mengemukakan nama Mohd Amirul Izwan Yaacob bagi mengadili Perlawanan Persahabatan Tier 1 antara Jepun menentang Venezuela di Stadium Panasonic Suita, Osaka yang akan berlangsung pada 19 November ini.
Amirul Izwan juga bakal menjadi pegawai keempat bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 2, Jepun B-22 lwn Colombia B-22 di Stadium EDION Hiroshima pada 17 November 2019.
Selain itu, Mohd Yusri Muhamad pula bakal bertindak selaku penolong pengadil bagi kedua-dua perlawanan yang turut merupakan sebahagian daripada Kirin Challenge Cup 2019.
Dalam perkembangan berlainan, kedua-dua pengadil tersebut bersama-sama dua lagi pegawai perlawanan dari Malaysia iaitu Mohamad Mu’azi Zainal Abidin dan Razlan Joffri Ali telah dilantik oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengendalikan perlawanan Kumpulan B Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Kuwait bertemu Chinese Taipei di Stadium Jaber al-Ahmad, Kuwait City pada 14 November ini.
Satu lagi set pegawai perlawanan dari Malaysia terdiri daripada Muhammad Nazmi Nasaruddin, Mohamad Zairul Khalil Tan , Mohd Arif Shamil Abd Rasid dan Suhaizi Shukri turut dilantik oleh FIFA untuk mengendalikan perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Myanmar lwn Mongolia di Stadium Mandalar Thiri, Mandalay pada 19 November.
Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)