Bintang Brazil, Philippe Coutinho akan menggunakan jersi bernombor 7 bersama Barcelona untuk musim baharu.
Pengumuman tersebut telah dibuat menerusi laman web rasmi Barcelona.
Coutinho yang mengenakan jersi bernombor 14 sejak menjejakkan kaki di Nou Camp pada Januari yang lalu akan menggunakan nombor 7 yang sebelum ini menjadi milik Arda Turan.
Terdahulu, peminat bola sepak menjangkakan bahawa Coutinho bakal diberikan nombor 7 memandangkan Turan dilihat kurang mendapat tempat di Barcelona.
Anda Turan menggunakan jersi 7 semenjak beliau menyertai Barcelona pada tahun 2015 dari Atletico Madrid.
Meskipun Barcelona telah meminjamkan Turan kepada Istanbul Basaksehir FC, pihak pengurusan tidak memberikan nombor 7 kepada Coutinho sehingga musim 2017/18 berakhir.
Nombor 7 yang bakal digunakan Coutinho pada musim hadapan pasti akan mengingatkan peminat Barcelona kepada beberapa pemain hebat yang turut pernah menggunakan jersi bernombor 7 ketika bersama Barcelona, antaranya David Villa, Luís Figo dan Eidur Gudjohnsen.
Selain itu, nombor 7 juga bakal mengimbau nostalgia buat legenda terulung Barcelona di era 60-an iaitu Charly Rexach yang telah membuat lebih dari 300 penampilan bersama kelab Catalan tersebut.
Coutinho menyertai Barcelona dari Liverpool pada jendela perpindahan Januari lalu dengan mencatatkan rekod perpindahan sebanyak 160 juta Euro (RM770 juta)
Beliau mengikat kontrak selama lima tahun setengah termasuk klausa pelepasan bernilai 400 juta Euro (RM1.9 bilion).
Sejak bersama Barcelona, pemain berusia 26 tahun itu telah berjaya membantu pasukan menjaringkan 10 gol dalam 22 penampilannya musim lalu.