Juara Piala FA 2018, pasukan Pahang hari ini memperkenalkan pemain mereka dan melancarkan jersi baharu dari jenama Umbro di Dewan Tun Razak, Temerloh di hadapan lebih 3000 penyokong setia.
Program tersebut bermula seawal pukul 9 pagi dengan beberapa aktiviti sampingan termasuk bola sepak jalanan, timbang bola, permainan E-Sport dan Panna Ko.
Para penyokong memberikan sorakan gemuruh apabila para pemain Pahang berjalan memasuki dewan menuju ke pentas utama dengan mengenakan jersi baharu yang berwarna biru kuning untuk jersi home (tuan rumah), dan hitam untuk jersi away (tempat lawan).
Mereka turut memperkenalkan barisan jurulatih dan pegawai pasukan yang diketuai oleh Dollah Salleh. Skuad Tok Gajah mengekalkan barisan pemain tempatan musim lalu namun tampil dengan empat pemain import baharu musim ini.
Tiga pemain import baharu akan memperkuatkan jentera serangan iaitu, pemain dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, Jose Eduardo atau Ze Love (Brazil) dan Saddil Ramdani (Indonesia) dan manakala Herold Goulun dari Perancis akan beraksi di posisi pertahanan.
https://twitter.com/OfficialPahang/status/1089432850468749317
Safuwan Baharudin dari Singapura terus mengekalkan slot pemain import Asia apabila pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh diberi kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.