Kelmarin dan semalam beberapa pasukan Liga Malaysia melancarkan jersi baharu mereka untuk musim 2019. Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) turut tidak melepaskan peluang untuk memperkenalkan jersi mereka yang dilihat sangat menarik.
Jersi Terengganu FC kali ini menggunakan jenama dari Al (Al-Ikhsan Sports) dan memperkenalkan jersi berwarna putih untuk jersi home (tuan rumah) dan berwarna hitam menawan untuk jersi away (tempat lawan).
Malah, jersi ini mempunyai keunikannya tersendiri kerana mempunyai nameset “AP Capristo” pada jersi mereka. Nameset ini direka khas buat pasukan TFC oleh penaja rasmi TFC, Adik Print.
Skuad @officialterengganufc bakal memakai nameset “AP Capristo” pada jersi musim 2019! Nameset ini direka khas buat pasukan TFC oleh penaja rasmi TFC, Adik Print!
Ayuh malam ini ke acara kemuncak iaitu Majlis Pelancaran Jersi Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak! pic.twitter.com/G2apnDfU5G
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 26, 2019
Selain itu, jika diteliti dengan lebih dekat pada jersi away Terengganu FC, terdapat jalur hitam yang tertulis “we bleed black and white” sehingga memberi kesukaran kepada pihak lain untuk ‘mencetak rompak’ jersi tersebut.
Ia dianggap sebagai antara jersi yang paling smart untuk musim ini dan menjadi pilihan peminat bola sepak tempatan.
🏴🏴 JERSI KEDUA PASUKAN TERENGGANU FC 2019 🏴🏴
Kami bawakan kepada anda, JERSI KEDUA Terengganu FC bagi musim 2019! #TFCXAL pic.twitter.com/C5qSfAlnVn
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 26, 2019
Sementara itu, Terengganu FC pada musim ini menyasarkan untuk menjadi antara tiga pasukan terbaik dalam Liga Super serta mara ke final Piala FA dan Piala Malaysia.
Sasaran itu diletakkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang yakin barisan mantap mampu dibentuk jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.
“Trofi Piala Presiden perlu dikekalkan TFC III manakala TFC IV diharap dapat menyamai atau membaiki pencapaian naib juara Piala Belia,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.
Selain itu, sejumlah RM25 juta diperuntukkan buat PBSNT dengan RM4 juta disumbangkan penaja utama, iaitu Terengganu Incorperated, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Ladang Rakyat.
Menurut Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim, perbelanjaan itu melibatkan lima pasukan utama yang bertanding dalam semua kejohanan tahun ini.
“Kedudukan kewangan PBSNT digunakan dengan hemah dan jumlah itu ialah purata perbelanjaan skuad Liga Super yang lain,” jelasnya dalam Majlis Memperkenalkan Jersi TFC.