“Bangkit sebagai juara !”
Itulah kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kepada para pemain Kedah ketika Majlis Pelancaran Jersi baharu mereka di Stadium Darul Aman malam tadi.
Mukhriz begitu teruja melihat jersi baharu skuad Helang Merah yang tampil dengan kit yang berwarna kuning berbelang hijau untuk jersi home (tuan rumah), merah untuk jersi away (tempat lawan) dan jersi ketiga yang berwarna hijau.
“Kita telah mempersiapkan pasukan padu dengan barisan pemain yang diyakini mampu membawa cabaran Kedah hingga ke puncak kecemerlangan dan pasukan ini juga mempamerkan corak permainan memberangsangkan dalam perlawanan pramusim lalu.
“Saya percaya semua ini hasil dedikasi dan kesungguhan setiap individu dalam KFA bermula daripada peringkat tertinggi hingga pengurusan.
“Barisan kejurulatihan diketuai Aidil Sharin Sahak disertai pemain dan pegawai mempunyai impian satu iaitu mahu melihat Kedah bangkit sebagai juara,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Selain pelancaran jersi, KFA turut membuka jualan pas bermusim Kedah FA 2019 bagi para penyokong setia mereka.
Skuad Kedah musim ini ditaja oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Perbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated MBI) dan juga produk jenama sukan Lotto yang menaja jersi dan peralatan sukan.
Dalam perlawanan persahabatan menentang Home United semalam, Kedah berjaya menewaskan kelab dari Singapura itu 4-0 hasil jaringan daripada penyerang import, Jonatan Bauman (2 gol), Fernando Rodriguez (1 gol) dan Badrol Bakhtiar (1 gol).