Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan jersi baharu skuad The Bos Gaurus pada musim ini antara tercantik dalam Liga Malaysia dan tidak akan memaparkan sebarang logo penaja.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata jersi tersebut akan disertakan dengan mesej tertulis ‘Save Water’ (Jimatkan Air) dan juga ‘Quit Smoking’ (Berhenti Merokok).
Menurut Utusan Malaysia, Faizal menjelaskan mesej dalam bahasa Inggeris itu tidak bermakna pihaknya tidak mendaulatkan bahasa Melayu tetapi ia selari dengan kedudukan The Bos Gaurus yang kini bermain di peringkat antarabangsa iaitu kelayakan AFC Champions League pada musim ini.
“Alhamdulillah, semua penaja kita menyumbang dengan penuh ikhlas demi menaik taraf sukan bola sepak negeri Perak. Saya telah bercakap dengan mereka mengenai perkara ini dan mereka bersetuju supaya nama-nama syarikat penaja tidak dipaparkan pada jersi.
“Sebaliknya kita letak ‘Save Water’ dan ‘Quit Smoking’ untuk kita tunjukkan pada orang ramai di seluruh Asia bahawa orang Perak membawa mesej yang baik. Orang Perak bersukan sambil berkasih sayang, kita cintakan bangsa kita,” katanya.
Perak pada musim ini mendapat tajaan jersi daripada jenama sukan antarabangsa iaitu Umbro melalui kerjasama dengan syarikat sukan terkemuka tempatan, Al-Ikhsan.
Majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi pasukan itu akan diadakan pada 26 Januari ini di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.
Ahmad Faizal juga mewakili PAFA memohon maaf kepada peminat terhadap perubahan venue Majlis pelancaran tersebut yang sepatutnya diadakan di Stadium Indera Mulia.
“Stadium Indera Mulia akan diadakan program lain pada tarikh sama dan pihak pengurusan PAFA terpaksa memindahkan majlis ke tempat lain.
“Pihak lain akan gunakan tempat itu dan kita tukar lokasi yang tidaklah jauh dari tempat asal iaitu di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh untuk pelancaran kit dan pengenalan pemain,” katanya.