Pada 3 Januari lalu, laman Twitter Semuanya BOLA telah membuat satu undian mengenai jersi Selangor, untuk melihat sama ada para penyokong tertarik atau tidak dengan reka bentuk jersi tersebut.
Berdasarkan undian yang telah dilancarkan, ia tampak seimbang dengan sebanyak 53 peratus penyokong memilih tidak tertarik, sementara baki 47 peratus undian memilih pilihan ianya cantik.
Berdasarkan komentar yang dititipkan para penyokong Gergasi Merah, ada dikalangan mereka yang menyatakan lambakan logo penaja menjejaskan jersi tersebut, sementara ada pula dikalangan mereka yang mengatakan ianya kelihatan ‘terlalu Kelantan’.
Bagi yang menyatakan ianya cantik, mereka menyukai konsep retro yang telah diketengahkan, selain ada yang dipetik berkata, reka bentuk itu mengingatkan kepada Allahyarham Mokhtar Dahari.
Walaubagaimanapun, harus diingat, ia ada reka bentuk berkonsep retro dan menurut laman Facebook, FA Selangor, ia diinspirasikan daripada konsep dan reka bentuk jersi away pada tahun 1985.
Selain itu, ini adalah jersi away yang mana bukan jersi utama yang belum lagi didedahkan oleh FA Selagor setakat ini dan dijangka akan diketahui pada 17 Januari depan, sebelum Kejohanan Asia Challenge 2020 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam.
Selepas jersi 'away' Selangor 2020 dilancarkan, kami para penulis telah berbalah sesama sendiri!
Ada yang kata lawa, ada yang kata kurang.
Jadi abang nak tanya semua follower Semuanya BOLA.
Jersi 'away' baharu Selangor FA 2020…
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 3, 2020
Pengurus baharu Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid ketika dihubungi Semuanya BOLA menjelaskan yang semua penyokong berhak menyuarakan pandangan mereka, namun cantik atau tidak jersi tersebut adalah subjektif, ia bergantung kepada individu.
“Ada panel yang melihat konsep dan kebolehupayaan pasaran dengan melihat kepada profil demografik penyokong Selangor yang menjangkaui segenap lapisan masyarakat,” jelasnya.
“Saya yakin jersi tersebut mempunyai daya tarikan tersendiri, yang mana saya telah pun melihat jersi tersebut dipakai oleh penyokong baru-baru ini, tidak sampai seminggu selepas ianya dilancarkan..
“Konsep ini selaras dengan trend terkini yang menghargai nilai kenangan dahulu dengan tidak meninggalkan unsur-unsur komersil masa kini yang bersesuaian,” tambahnya lagi.
“Jersi utama akan dilancarkan pada 17 Januari depan, insyaAllah,” jelasnya lagi sambil berharap musim 2020 nanti, Selangor akan memberikan prestasi yang konsisten bagi mencapai kejayaan.
Kejohanan empat penjuru Asia Challenge 2020 antara Selangor, Persib Bandung, True Bangkok United dan juga Hanoi FC akan dilangsungkan bermula pada 18 dan 19 Januari depan.
Kredit Foto: FA Selangor