Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low mengakui skuad kendaliannya sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran juara Piala Dunia yang diraih di Brazil empat tahun lalu menjelang aksi sama yang bakal membuka tirainya 14 Jun ini.
Bagaimanapun, skuad yang diberi jolokan Die Mannschaft akan memulakan aksi kumpulan F menentang Mexico pada 17 Jun dan seterusnya bakal berdepan Sweden dan Korea Selatan.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi mengenai pasukan Jerman.
“Saya tidak pasti apa yang akan berlaku kepada ‘generasi emas’ Jerman ini pada perlawanan Piala Dunia nanti, namun saya dapat memberi jaminan bahawa semua pemain sangat bersemangat untuk mempertahankan kejuaraan mereka.
“Jerman masih kekal menggunakan falsafah sama walaupun terdapat beberapa perubahan pemain.
“Bagaimanapun, impian dan kekuatan Jerman masih seimbang sama seperti yang kami bawa di Brazil empat tahun lalu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain tengah Jerman, Marco Reus percaya skuad Jerman akan berdepan laluan sukar pada aksi kali ini kerana memegang reputasi juara terdahulu.
“Semua pasukan akan cuba menewaskan Jerman kerana kami turun sebagai juara bertahan. J
“ika semua pemain dapat mengekalkan rentak permainan serta memberi aksi terbaik, saya yakin Jerman masih lagi kekal sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara.
“Ramai pemerhati bola sepak yang menjangkakan kami mudah menempah tiket ke pusingan suku akhir, tetapi saya rasa Jerman tidak seharusnya memandang mudah cabaran pasukan yang menghuni kumpulan F.
“Jujurnya, anggapan semua orang terhadap Jerman sedikit memberi tekanan kepada kami,” katanya.