Jerman menjuarai Kejohanan Euro B-21 buat kali kedua dalam sejarah bola sepak mereka selepas kemenangan ke atas pasukan Sepanyol dalam perlawanan yang berkualiti tinggi yang dipamerkan kedua-dua pasukan.
Seperti yang dicanang oleh kem Jerman sebelum ini, mereka akan cuba memastikan Sepanyol ditekan secara agresif untuk membuatkan lawan mereka tidak selesa dengan bola.
Jerman banyak menggunakan bekas pemain Arsenal yang baru menyertai Bayern Munich iaitu Serge Gnabry ketika menyerang.
Gnabry menjadi ancaman besar untuk pasukan Sepanyol kerana kepantasan serta stabiliti fizikal yang beliau miliki.
Max Meyer juga cemerlang di dalam perlawanan ini dengan mencipta banyak peluang kepada barisan serangan. Beliau sendiri memiliki beberapa peluang di dalam kotak penalti.
Manakala Sepanyol pula banyak bergantung kepada Deulofeu dan Asensio untuk memecahkan ‘tembok Berlin’. Namun mereka buntu.
Jerman menguasai babak pertama dengan sangat baik. Selepas menjaringkan 1 gol pada babak akhir separuh masa pertama, Jerman kelihatan fokus untuk bertahan pada babak kedua.
Menariknya mengenai sistem ‘double-marking’ yang mereka lakukan ke atas beberapa pemain penting Sepanyol ternyata sangat berkesan.
Bukan mudah untuk memberikan tekanan kepada Sepanyol dalam perlawanan ini. Ianya menuntut usaha dan tenaga yang tinggi. Disiplin dan stamina para pemain Jerman begitu baik untuk melakukannya.
Mereka berjaya mematahkan pertukaran hantaran di antara pemain Sepanyol serta mempraktikkan permainan fizikal yang berkesan.
Ketika bertahan, sistem pertahanan Jerman tidak terlalu ke belakang (deep) dan sentiasa melindungi zon 14 Sepanyol.
Ini telah berjaya mengurangkan impak daripada rembatan jarak jauh daripada pemain Sepanyol yang memiliki kepakaran melakukannya.
Gandingan pertahanan Jerman cemerlang sepanjang perlawanan ini terutama sekali Stark dan Kempf. Sepanyol hanya memiliki 1 cubaan tepat dalam perlawanan ini.
Secara keseluruhannya, kedua-dua pasukan mempersembahkan aksi final yang menarik dan berkualiti. Tamat perlawanan, Jerman menang 1-0 untuk mengulangi pencapaian mereka pada 2009.
Dani Ceballos pemain terbaik kejohanan
Pemain terbaik kejohanan dianugerahkan kepada Dani Ceballos. Satu perjalanan karier yang dramatik untuk Ceballos yang pernah ditamatkan kontrak oleh Akademi Sevilla kerana masalah bronkitis.
Ceballos selepas itu beraksi untuk kelab kecil di kampung beliau Utrera. Pada 2011, beliau dipancing oleh Real Betis.
Pada hari ini Ceballos telah dikaitkan dengan banyak kelab besar di Eropah termasuk Real Madrid dan Barcelona.
Tahniah Jerman
Skuad muda B-21 mereka sudah berjaya melakukan tugas mereka. Esok, skuad muda yang dibawa ke Russia oleh Joachim Loew pula akan cuba melengkapkan detik gemilang bola sepak Jerman selepas menjuarai Piala Dunia.