Badan pengendali Liga Malaysia (Liga M), Malaysia Football League (MFL) semalam mengumumkan di laman facebooknya, jendela perpindahan kedua Liga M musim ini akan dibuka pada 7 Mei hingga 3 Jun 2018.
Pada bulan Januari lalu, pihak MFL mengumumkan tarikh pendaftaran pemain Liga Malaysia 2018 untuk jendela perpindahan pertama dan kedua dimana setiap pasukan wajib untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 orang pemain sebelum tarikh tutup perpindahan pertama, 14 Januari 2018.
Namun, pintu perpindahan kedua yang sepatutnya dibuka pada 14 Mei ini diawalkan seminggu kepada 7 Mei ini. Setakat ini tiada penjelasan rasmi daripada pihak MFL mengenai pertukaran tarikh ini.
Perpindahan kedua Liga Malaysia dijangka akan menyaksikan lebih ramai pertukaran pemain import di posisi serangan dan pertahanan pasukan Liga Super berikutan aksi hambar yang ditunjukkan oleh mereka selepas mengharungi lebih 6 perlawanan.
Antara pemain import yang berpotensi untuk ditukar ialah Pablo Pallares (Kedah), Prak Mony Udom (Negeri Sembilan), Alfonso De La Cruz (Selangor) dan Bruno Lopes (Kelantan).
Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga akan memperkuatkan pasukan mereka dengan membawa masuk bekas pemain Melbourne City, Harry Novillo manakala pencabar terdekat mereka, Pahang dijangka akan menyenaraikan penyerang import baharu bagi menggantikan Forkey Doe yang mengalami kecederaan.