Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating menyifatkan kejayaan menumpaskan Johor Darul Ta’zim II di Stadium Perbadanan Pasir Gudang malam tadi adalah satu kemenangan yang sukar buat pasukan bimbingannya.
Jaringan tunggal pemain import dari Serbia, Rodoljub Paunovic pada minit ke-59 bagaimanapun sudah cukup buat skuad yang kini dikenali sebagai ‘Tambadau’ itu untuk meraih tiga mata penuh sekaligus mengesahkan tempat ke saingan Liga Super 2020.
”Pertamanya saya ucapkan rasa syukur kepada Tuhan atas kemenangan kami malam ini, kemenangan malam ini bukan satu kemenangan yang mudah untuk kami.”
”Separuh masa pertama pasukan Johor bermain sangat baik, mereka banyak memberikan kesukaran buat kami dan separuh masa kedua perlawanan menjadi seimbang.”
”Kami bersyukur kerana kami mendapat satu gol yang kalau kita lihat peluang itu bukan satu peluang yang terbuka sebenarnya tetapi satu jaringan yang cantik.”
”Jadi itu yang memberi kelebihan buat kami dalam perlawanan ini. Jadi apa-apa pun saya memberikan pujian kepada semua pemain yang begitu berusaha keras, yang mempertahankan gawang kami supaya tidak dibolosi walaupun pasukan Johor datang menyerang dengan bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang ini.”
Dalam pada itu, Jelius turut memberikan pujian buat para pemain JDT II yang dilihat telah memberikan kesukaran buat Sabah pada aksi di Pasir Gudang itu.
”Pujian juga kepada pasukan Johor yang bermain baik, sentiasa memberikan kami tekanan dan kesukaran pada malam ini. Perlawanan ini merupakan satu aksi yang menarik,” ujar Jelius lagi dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Detik kemenangan skuad yang dibimbing Jelius Ating ini pastinya amat ditunggu-tunggu para penyokong Sabah kerana sudah tujuh tahun mereka merindukan aksi Liga Super dan musim hadapan mereka akan kembali!
Kredit foto: The Rhinos Troops