Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating akui sesuatu pasukan tidak perlu berbelanja terlalu mewah untuk membentuk satu skuad yang mantap dan berkualiti dalam harungi Liga Malaysia sebaliknya perlu sabar dalam membentuk sebuah pasukan berkualiti.
Keupayaan Sabah menjulang kejuaraan Liga Premier 2019 menjadi bukti bahawa kejayaan boleh dibentuk jika wujud kepercayaan terhadap semua pemain.
Jelas Jelius, dia bersama barisan kejurulatihan lain mengambil masa dua tahun bagi membentuk satu pasukan yang kuat dan akhirnya menamatkan penantian selama 23 tahun julang trofi Liga Premier musim ini sejak tahun 1996.
Jelius selaku bekas pemain Sabah era 90an tidak melakukan rombakan besar dalam pasukannya sejak tahun 2017 dengan memastikan mereka sentiasa digilap untuk beraksi cemerlang atas padang dan usahanya selama dua tahun membuahkan hasil.
Menariknya, pasukan Sabah hanya mempunyai tiga pemain berusia lebih 30 tahun dan selebihnya berusia 26 tahun ke bawah di mana Jelius percaya mutu permainan mereka akan lebih mantap pada masa hadapan.
“Kita berjaya buktikan dalam kesederhanaan kita membentuk pasukan,ia masih mampu membuahkan hasil dan saya sentiasa bersyukur dengan apa yang saya ada sejak dua tahun lepas.
“Kita dalam pasukan juga sedar dengan kemampuan sendiri dan hanya menggunakan peruntukan yang sudah ditetapkan dan kita berjaya juga untuk menjadi juara sekali gus layak ke Liga Super 2020.
“Kalau nak dibandingkan waktu dahulu, sama juga kami tidak mempunyai apa-apa kemewahan dalam pasukan tapi Sabah mampu juga untuk berjaya pada tahun 1996 dan sekarang saya katakan kepada pemain dengan segala kemudahan fasiliti yang ada sekarang, kenapa kita tidak boleh berjaya?
“Jadi, pemain-pemain saya buktikan mereka boleh lakukan dan itu sangat membanggakan saya selepas usaha keras selama dua tahun ini”, katanya.
Apa yang pasti, Jelius enggan Sabah sekadar menjadi pasukan pelengkap sahaja dalam saingan Liga Super 2020 di mana tugas yang lebih berat menantinya untuk pastikan anak buahnya lebih matang berdepan skuad lebih hebat, musim depan.
Mereka perlu elak daripada menjadi pasukan belasahan dan Jelius juga harus bersedia untuk hadir dengan satu formula yang lebih berkesan dalam misinya untuk lakar kejutan di saingan Liga Super.
“Walaupun pemain-pemain saya ini ada yang masih muda, tetapi mereka sudah membuktikan mereka mampu untuk pamer aksi berkualiti dan prestasi itu perlu konsisten pada musim depan juga.
“Saya perlu sentiasa bagi dorongan kepada mereka untuk tidak putus asa dalam berusaha lebih keras kerana mereka perlu sedar misi utama di Liga Super bukannya untuk dibelasah, tetapi kita yang perlu cipta kejutan.
“Kami akan hadirkan tentangan sengit kepada pasukan lawan dan menggunakan setiap peluang yang ada untuk tingkatkan kualiti permainan yang lebih baik bagi musim 2020 nanti,” jelasnya.