Pertembungan di antara juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Muangthong United FC dalam aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Nasional Supachalasai esok bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak di asia tenggara.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu pada tahun 2016 dimana perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan sehingga diheretkan ke masa tambahan. JDT tewas 0-3 kepada Muangthong melalui penentuan sepakan penalti.
Mengulas mengenai pertemuan itu, penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan enggan berasa tertekan sebaliknya ingin fokus untuk memastikan gawangnya tidak mudah dibolosi oleh pasukan Naib Juara Liga Thailand itu.
“Kami tidak mahu tertekan, sebaliknya mahu lebih fokus dalam pertembungan ini.
“Ia pastinya perlawanan yang cukup sengit kerana Muangthong United bukanlah calang-calang pasukan dan mereka juga dibarisi pemain terbaik. Namun begitu, JDT juga memiliki reputasi tersendiri,” kata Izham seperti dipetik melalui laman facebook rasmi JOHOR Southern Tiger (JST).
“Aksi persahabatan ketika pra-musim di Thailand jelas memberi kesan positif buat kami.
“Tiga perlawanan persahabatan yang diharungi nyata mampu meningkatkan kualiti permainan dan saya optimis kami mampu menandingi kekuatan Muangthong United FC,” katanya.
Izham juga turut menjelaskan skuad Muangthong yang ditentang oleh mereka kali ini jauh lebih mantap dan berbeza berbanding 2 tahun lalu.
“Pasukan lawan telah melakukan beberapa rombakan pemain dan pasukan kali ini jelas berbeza dengan pasukan yang kami tentang dua musim lalu.
“Penyerang mereka cukup bagus dan kami kena awasi pemain-pemain tersebut.
“Walau apa pun, taktikal dan strategi yang dirancang oleh ketua jurulatih, Ulisses Morais sepanjang latihan pramusim bakal kami praktikkan untuk memenangi perlawanan ini,” jelasnya.
Sementara itu, bekas penyerang skuad Harimau Muda, Hazwan Bakri menjelaskan JDT kali ini melakukan persiapan lebih rapi bagi memastikan impian untuk beraksi di saingan AFC Champions League jadi kenyataan.
“Ini adalah kali kedua kami berdepan dengan kelab dari Thailand (Muangthong United) dalam saingan kelayakan ACL.
“Musim lalu, JDT menang 1-0 ke atas Bangkok United untuk mara ke pusingan ketiga. Pertembungan menentang Muangthong United ini pastinya sengit.
“Walau apa pun, persiapan rapi sudah dilakukan sepanjang pra-musim di Bangkok.
“Banyak yang kami belajar terutama perubahan formasi dan juga mengawal perasaan ketika beraksi di padang supaya tidak terlalu gopoh dan sentiasa tenang,” ujarnya.
Hazwan juga gembira dapat berganding dengan dua pemain import dari Argentina di bahagian serangan.
“Saya juga berpeluang bergandingan bersama Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz sewaktu perlawanan persahatan pra-musim di Thailand dan ternyata mereka merupakan pemain yang cukup profesional,” katanya.