Kekalahan kepada kelab Vietnam, Song Lam Nghe Anh dalam perlawanan Piala AFC minggu lepas tidak mematahkan semangat juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memburu kemenangan kedua ke atas kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar malam ini.
Pengendali sementara skuad Harimau Selatan, Raul Longhi berkata JDT tekad memburu 3 mata penuh untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC musim ini.
“Pasukan Tampines Rovers merupakan sebuah pasukan yang hebat, begitu juga JDT. Kami akan memberikan aksi perlawanan yang terbaik dan akan berusaha untuk memenangi perlawanan ini.
“Seperti setiap perlawanan, kami akan sentiasa memberikan seratus peratus komitmen sepanjang 90 minit perlawanan. Untuk perlawanan esok (hari ini), kami akan tetap mengaplikasikan falsafah JDT,” katanya seperti dipetik dalam laman JOHOR Southern Tigers.
Beraksi di padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar bukanlah masalah utama skuad itu kerana mereka sudah biasa berlatih di padang jenis yang sama setiap hari.
“Di JDT, kami sering berlatih di atas padang sintetik kerana kami mempunyai fasiliti dan padang yang baik untuk latihan. Malah latihan hari ini juga di lakukan di padang sintetik, oleh itu kami tahu perbezaannya jika dibandingkan apabila beraksi di atas rumput sebenar.
“Namun apa pun, saya tahu para pemain kami tidak ada sebarang masalah untuk perlawanan ini.
“Kami akan cuba untuk bermain corak permainan yang sama seperti perlawanan terakhir kami iaitu ketika menentang pasukan Sabah. Kami tiada masalah untuk bermain di atas padang di Singapura kerana para pemain kami sudah pun membiasakan diri dengan padang sintetik.
“Tiada alasan bagi kami. Kami akan berusaha sehabis baik untuk memenangi perlawanan ini dan mendapatkan tiga mata berharga untuk dibawa pulang,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan skuad itu, Aidil Zafuan mahu rakan sepasukannya fokus untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya.
“Persiapan kami untuk bertemu pasukan Tampines Rovers berjalan dengan lancar dan semestinya kami akan memberikan seratus peratus demi memastikan kemenangan berpihak kepada kami.
“Saya sebagai pemain merasakan setiap perlawanan adalah penting. Oleh itu tiada alasan bagi kami tidak memberikan sepenuh perhatian untuk perlawanan esok. Yang penting adalah keutamaan kami kepada pasukan Johor Darul Ta’zim,” ujarnya.