Juara Liga Super dan Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan empat teratas liga Super selain layak ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.
Menerusi kenyataan laman rasmi Johor Southern Tigers (JST), kelab dari Selatan itu enggan meletakkan sasaran tinggi pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018 yang bakal membuka tirainya pada bulan Februari depan.
JDT kali ini lebih mengutamakan konsistensi dalam mengharungi kempen Liga M yang dianggap kunci kejayaan kelab berkenaan, selain perlu mengharungi saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.
“Antara sasaran yang ditetapkan untuk Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim adalah berada di kedudukan empat teratas dalam Liga Super, suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia serta melakukan yang terbaik dalam kejohanan Piala AFC.
“Tentunya misi dan visi yang sama diteruskan dengan pencapaian lebih gemilang menjadi fokus utama buat pasukan untuk musim hadapan,” kata kenyataan itu.
Skuad kendalian Ulisses Morais sudah memulakan sesi latihan sejak kelmarin. Turut hadir pada sesi latihan itu ialah penjaring terbaik musim 2016, Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa.
Pemain dari Singapore, Hariss Harun yang dipinjamkan ke kelab Liga Singapura musim ini, Home United kembali memperkuatkan JDT untuk mengisi kuota pemain import ASEAN yang diperkenalkan pada musim depan.
Turut menjalani latihan adalah pemain kacukan Malaysia dan Barbados, La’Vere Corbin Ong yang memulakan latihan sejak kelmarin.
Skuad Harimau Selatan dijangka akan mengumumkan nama pemain import slot asia pada awal bulan Januari ini memandangkan pemain itu masih mempunyai kontrak dengan pasukan lamanya sehingga hujung Disember ini.