Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan telah pun menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama seorang pemain import baharu dari Argentina untuk saingan hadapan iaitu Jalil Elias.
Kenyataan itu disahkan sendiri menerusi salah seorang pengamal sukan di Argentina yang dikenali sebagai Cesar Luis Merlo yang menyatakan beliau akan meninggalkan San Lorenzo secara percuma untuk bersama JDT.
“Ekslusif, Jalil Elias meninggalkan San Lorenzo secara percuma dan bermula Januari, dia akan beraksi di Malaysia.
“Pemain tengah tersebut telah pun menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT),” jelas kenyataan tersebut di Instagram.
Untuk rekod, Jalil sebelum itu memulakan karier beliau secara profesional bersama Newell’s Old Boys pada musim 2015 sehingga 2018 sebelum menyertai Godoy Cruz di Argentina.
Setelah itu, Union Santa Fe berjaya mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun tersebut secara pinjaman sebelum diikat rasmi San Lorenzo pada musim 2021 sehingga kini.
Beraksi di saingan teratas Argentina, pastinya Jalil memiliki banyak pengalaman berguna untuk dicurahkan bersama JDT pada musim hadapan yang sekali lagi akan beraksi dalam kejuaraan AFC Champions League (ACL)
Kehadiran Jalil pastinya bertujuan untuk memperkemaskan lagi posisi tengah JDT pada musim hadapan, setelah pemilik pasukan tersebut, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini memberi bayangan mereka akan hadir dengan lebih kuat.
Sentuhan dari Argentina ini bukan lagi sesuatu yang baharu buat JDT, setelah ramai bekas pemain pasukan tersebut sebelum itu berjaya memberi impak cukup besar buat mereka dan menghadirkan banyak kejuaraan.
Malah pengendali JDT sendiri iaitu Esteban Solari berasal dari Argentina dan impak ditinggalkan beliau untuk musim pertama di Malaysia jelas cukup menyakinkan.
Kejayaan JDT untuk mendapatkan bintang ini sudah tentu disebabkan reputasi mereka sendiri yang sangat gah kini di Asia Tenggara selain memiliki segala diinginkan oleh pemain bola sepak profesional.
From Primera to Liga M. Jalil Elias dikaitkan ke JDT seperti yang dilaporkan media antarabangsa. Pemain tengah San Lorenzo itu dikatakan akan memulakan karier di Malaysia Januari tahun depan. 🇦🇷🇲🇾✍️ pic.twitter.com/3qF5cWgYFk
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) September 29, 2023
Selain Jalil, dijangka pasukan tersebut mungkin akan terus memperkemaskan lagi beberapa posisi lain untuk hadir dengan lebih kuat serta memberi cabaran besar dalam semua kejuaraan domestik dan Asia.
Kemungkinan besar, JDT mungkin akan mengumumkan kehadiran Jalil pada masa akan datang dan sudah tentu akan disambut baik oleh semua penyokong setia Harimau Selatan.