Quantcast

BERITA

JDT ‘Semakin Bergaya’, Jalin Kerjasama Dengan Hublot

Dengan usaha berterusan untuk inovasi dan perkembangan unik, pengeluar jam tangan mewah dari Switzerland, Hublot terus menyatakan sokongan buat kancah bola sepak dan kali ini lebih menarik selepas mengumumkan kerjasama dengan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Melalui kerjasama tersebut, Hublot kini merupakan jam tangan dan penjaga masa rasmi buat juara enam musim berturut-turut saingan Liga Super Malaysia itu.

Seperti yang dapat kita saksikan di laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers, Hublot dan The Hour Glass Malaysia telah melancarkan kempen pertama dengan menampilkan pemain-pemain utama JDT bergaya bersama jam tangan mewah tersebut – jenama jam tangan pilihan pemain bola sepak profesional.

”Johor Darul Ta’zim FC adalah satu kelab utama dan paling bercita-cita tinggi di Asia Tenggara yang telah melebihi harapan semua orang sejak mula ditubuhkan, menyatukan seluruh negeri sambil memberikan inspirasi kepada pemain muda.”

”Ini adalah satu penghormatan untuk kami mengalu-alukan Johor Darul Ta’zim FC dalam keluarga Hublot. Terima kasih atas kerjasama ini, kami akan terus memperkuatkan kehadiran kami dalam kancah bola sepak kelas dunia.”

”Sebagai jenama mewah pertama yang melabur dalam bola sepak pada tahun 2006, Hublot telah sinonim dengan bola sepak dan JDT serta mempunyai sejarah dan reputasi yang hebat. Kelab ini berkongsi nilai, matlamat dan komitmen kami untuk kecemerlangan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hublot, Ricardo Guadalupe.

Pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim jelas amat gembira dengan perkembangan tersebut dan melihat kerjasama ini sebagai perintis terbaik dalam menaikkan ‘jenama’ bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik.

”Kami gembira untuk mengalu-alukan rakan kongsi berprestij, Hublot menjadi sebahagian daripada keluarga Johor Darul Ta’zim FC pada masa yang sangat menarik dalam sejarah kelab ini.”

”Hublot bukan sahaja jenama jam tangan paling dihormati di di dunia, tetapi reputasi untuk kecemerlangan dan inovasi menjadikan mereka penaja yang sesuai dan menarik untuk JDT.”

”Ia juga menjadi daya penggerak dalam mempromosikan bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”

Kredit foto: JOHOR Southern Tigers