JDT Sahaja Tak Boleh Selamatkan (Dan Rosakkan) Bola Sepak Malaysia

penyokong JDT petang

Siapa lagi salah kalau bukan JDT? Lagipun 50% skuad kebangsaan yang terpilih ke Piala Asia 2023 di Qatar terdiri daripada pemain JDT.

Kekalahan 0-1 skuad Harimau Malaya kepada Bahrain pada Sabtu lepas nampak sukar ditelan. Gol tunggal Bahrain pada minit kecederaan hasil jaringan Ali Madan umpama tombak menusuk dada. Sakit dan sentak. Sejurus selepas wisel penamat dibunyikan, sakit bertukar menjadi emosi. Dan ditengah-tengah ribut emosi ini adalah JDT.

Ejekan penyokong Indonesia di media sosial menambahkan kemeruapan amarah penyokong Malaysia di media sosial. Ada satu meme mengejek Malaysia yang masih gagal menjaringkan sebarang gol. Tapi yang paling banyak adalah kegelian hati mereka melihat kita berbalah mencari kambing hitam. Masakan tidak, selepas tewas 1-3 kepada Iraq dalam perlawanan pembukaan, Indonesia bangkit mengutip tiga mata menewaskan Vietnam 1-0. Thailand peserta ASEAN paling menyerlah – menang sekali, seri sekali. Vietnam walaupun masih gagal mengutip mata seperti Malaysia, masih mampu menjaringkan 2 gol menentang Jepun – dengan skuad keempat termuda dalam kejohanan (Indonesia skuad termuda dengan purata umur 24.33).

Sebagai perbandingan, Malaysia turun ke Piala Asia 2023 dengan skuad ke-4 tertua. Sebelum dikecewakan Bahrain, Malaysia layu dibelasah Jordan 0-4 dalam perlawanan pembukaan.

Piala Asia 2023: Malaysia Tampil Terkulai Layu Di Tangan Bahrain

Apabila emosi menguasai fikiran, sukar untuk kita membuat keputusan. Apa punca kita kalah kepada Bahrain? JDT. Apa punca kita kalah kepada Jordan? JDT. Kenapa JDT puncanya? Senang. Sebab JDT lah yang menyediakan ‘tulang belakang’ kepada skuad negara.

Ia jauh lebih senang daripada marah kepada kelab Liga Super lain kerana masih gagal menyediakan kemudahan latihan berkualiti kepada pemain. Ia lebih senang daripada menuntut kelab Liga Super lain untuk menjaga kebajikan dan hak pemain. Ia lebih senang daripada mendesak kelab Liga Super lain untuk menaiktaraf akademi belia sehingga mendapat sekurang-kurangnya satu bintang dalam AFC Elite Youth Scheme.

Apabila kesimpulan tergesa-gesa gagal meredakan kemarahan, ketika inilah teori konspirasi akan muncul untuk memberikan ketenangan. Kenapa Malaysia kalah dengan Bahrain? Sebab Natxo Insa dipilih bermain berbanding pemain tengah lain. Kenapa Insa dipilih walaupun sudah enam tahun tak dipilih skuad kebangsaan? Kenapa Mohamadou Sumareh dipilih walaupun jarang bermain pada musim 2023? Senang. Sebab TMJ masuk campur pemilihan pemain skuad negara.

Ia jauh lebih senang daripada berfikir – bukankah ia lebih menguntungkan JDT jika Insa tidak dipilih dan bermain langsung untuk skuad negara? Bukankah lebih bagus buat JDT – terutamanya dalam aspek mengelak kecederaan – jika semakin sedikit pemainnya dipilih? Lagipun Kim Pan-gon sendiri mempunyai banyak pilihan pemain tengah lain (Afiq Fazail, Safawi Rasid atau Brendan Gan) di bangku simpanan daripada measukkan Insa dan Sumareh.

Ketika ini, ia nampak seperti apa sahaja keputusan Kim Pan-gon yang tidak menjadi, ia disebabkan campur tangan TMJ.

Patutlah TMJ selalu kata, “What can you do?”

Tiada siapa di Malaysia yang tidak kecewa dengan persembahan skuad negara di Piala Asia 2023. Tapi dalam kekecewaan ini, adalah penting bagi kita untuk mengubah perspektif. Kegagalan, jika diubah perspektifnya, boleh menjadi pengajaran. Masalah, jika diubah perspektifnya pula, boleh menjadi cabaran. Kekalahan bukan kegagalan, ia jalan menuju kejayaan.

Langkah seterusnya yang perlu kita ambil adalah mengubah perspektif dan pendekatan kita sendiri – bukannya terus berbalah dan menanti kita diubah. Jika kita mula bekerja untuk persiapan edisi Piala Asia 2027, 2031, 2035 dan seterusnya, kekecewaan edisi 2023 ini takkan terasa sepedih sekarang.

Susulan kempen mengecewakan di Qatar ini, jelas sekali kualiti skuad negara kita bergantung kepada kualiti pemain tempatan kita. Bukan pemain import yang dinaturalisasikan. Bukan pemain warisan yang dinaturalisasikan. Jelas sekali kita kekurangan pemain berkualiti – terutamanya di bahagian tengah dan serangan. Jika kita banyak menghasilkan pemain tempatan yang berkualiti setaraf Asia, tidak akan timbul isu kenapa Kim Pan-gon dan barisan stafnya memilih Natxo Insa berbanding Brendan Gan. Atau kenapa Romel Morales terpilih berbanding Syafiq Ahmad. Atau kenapa Morales dan Paulo Josue disuruh bermain sebagai penyerang.

Dalam masa kurang lima tahun, masalah sama akan menular di bahagian pertahanan. Ramai pemain harapan Pan-gon di bahagian ini sudah berumur. Junior Eldstal akan berumur 37 tahun menjelang Piala Asia 2027 nanti. Begitu juga dengan Corbin-Ong. Matt Davies dan Dion-Johan Cools (gambar bawah) pula 31 tahun.

Dion Cools Malaysia Singapura Tri-Nation Series 2022
FOTO: FAM

Masalah kita sekarang melangkaui soal pemilihan pemain. Kualiti pemain kebangsaan kita – senang cakap – belum cukup untuk memenuhi jangkaan kita lagi. Kita tiada pemain yang boleh menjaringkan gol jika Arif Aiman dan Faisal Halim dikawal ketat dan dihalang daripada membawa bola masuk ke kotak penalti. Kita bergelut untuk menang duel, satu aspek penting jika kita mahu menyerang melalui transisi. Jika kita mahu menyerang melalui penguasaan bola pula, kita tiada pemain yang tinggi kemahiran teknikalnya dan boleh menjaga bola ketika ditekan pihak lawan.

Simptom-simptom ini semuanya menunjukkan kita kepada diagnosis penyakit yang sama: sistem akar umbi kita masih belum cukup menghasilkan pemain lagi. Ubat kepada ‘penyakit’ ini cuma ada satu: akademi belia perlu diperkasakan. Kepakaran jurulatih luar perlu diturunkan kepada jurulatih tempatan semasa proses knowledge transfer. Lebih banyak akademi kelab Liga Super perlu menaikkan taraf Ahli Piagam FAM Suparimau mereka sehingga menjadi Ahli Emas. Selepas itu, dapatkan pula akreditasi bintang AFC Elite Youth Scheme.

Bagaimanapun, usaha ini menuntut perubahan perspektif daripada kita semua. Kesanggupan untuk bermain the long game, secara tradisinya, bukanlah kekuatan Malaysia. Tetapi JDT telah membuktikan ia boleh membuahkan hasil premium. Antaranya:

1. Mendedahkan pemain tempatannya dengan kualiti bola sepak lebih tinggi di AFC Champions League.

2. Membantu Malaysia layak ke Piala Asia secara merit dalam masa 40 tahun menerusi pemain dan perkongsian kemudahan latihan.

3. Membantu Malaysia menang dua daripada dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 menerusi pemain dan perkongsian kemudahan latihan.

4. Meletakkan nama Malaysia di radar bola sepak Asia menerusi penglibatannya di AFC Champions League.

Sejujurnya, Harimau Malaya memerlukan lebih banyak lagi daripada JDT – dan kelab-kelab Liga Super lain – untuk memperbaiki prestasi di edisi 2023 Piala Asia ini pada edisi 2027 nanti.

Langkah pertamanya bermula pada bulan Mac nanti dalam perlawanan double-header menentang Oman.

Kita wajib menang untuk layak ke Piala Asia 2027.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN