Tiga jurulatih utama kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longi, Rui Miguel dan Ismail Ibrahim dilepaskan oleh kelab tersebut dari jawatan masing-masing.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards melalui satu kenyataan yang dimuatnaik melalui akaun Facebook rasmi kelab.
Sehubungan dengan itu, tiga nama yang tidak asing kepada JDT akan terlibat di dalam perlantikan baru.
Bekas pemain import, Luciano Figueroa akan dilantik sebagai pengurus pasukan. Manakala bekas pengendali pada musim lalu, Benjamin Mora dan Hamzani Omar akan membantu tugas Figueroa sebagai jurulatih.
Ketiga-tiga mereka akan dihantar ke Eropah dalam masa terdekat untuk menjalani kursus kejurulatihan. Figueroa akan dihantar ke Atletico Madrid, manakala Mora nda Hamzani masing-masing akan ke Manchester City dan Wolverhampton Wanderers.
Untuk mengisi kekosongan di JDT II dan JDT III yang diisi oleh Mora dan Hamzani, Ervin Boban akan dinaikkan pangkat sebagai jurulatih.
Sehubungan dengan itu, Shakir Shaari akan dihantar untuk menjalani kursus kejurulatihan untuk mempersiapkan diri sebagai pembantu kepada Boban.
Alistair turut mengesahkan bahawa pemain pertahanan, Marcos Antonio akan menyertai Shakir untuk menjalani kursus kejurulatihan selepas bersara daripada bola sepak.
Menurut Alistair lagi perkara ini sememangnya sudah di dalam perancangan JDT sejak sekian lama, namun terpaksa menunggu waktu yang tepat untuk diumumkan.
Walaupun mengesahkan Raul Longhi, Rui Miguel dan Ismail Ibrahim sudah tidak melatih skuad utama JDT, masih menjadi tanda tanya sama ada ketiga-tiga mereka akan mengambil peranan lain, atau meninggalkan juara lima kali berturut-turut Liga Super Malaysia itu.