Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan kepada semua yang mereka bukan sahaja bergelar ‘jaguh kampung’ tetapi sudah pun mencabar pentas kejuaraan elit di peringkat Asia.
Terbaharu, skuad kendalian Hector Bidoglio tidak mengalami sebarang masalah untuk membuktikan mereka kekal hebat di laman sendiri apabila meraih kemenangan 3-0 mengatasi salah satu kelab gergasi China, Shanghai Shenhua.
Sepanjang aksi berlangsung, JDT tampil dengan pendekatan cukup sempurna untuk menghasilkan gol menerusi kesilapan dicipta lawan selain kekal berdisiplin menyerap serangan pelawat.
Selepas saingan AFC Champions League Elite (ACLE) diperkenalkan musim ini, pasukan tersebut seolah tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencipta rekod demi rekod membanggakan.
Apakah rekod yang sudah dicipta JDT sepanjang mengharungi dua perlawanan ACLE musim ini?
Kekal rekod tanpa kekalahan
Siapa yang menyatakan JDT bakal menjadi mangsa belasahan di pentas ACLE kali ini jelas mereka terpaksa menerima fakta pahit apabila pasukan tersebut masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi dua perlawanan.
Bermula dengan episod seri 2-2 menentang Shanghai Port, JDT melebarkan penguasaan di pentas Asia kepada kemenangan berharga 3-0 mengatasi Shanghai Shenhua.
Kemenangan ini juga memastikan lebih ramai pemerhati bola sepak dari luar negara untuk tampil memberi tumpuan kepada satu-satunya wakil Malaysia itu di pentas elit.
Tiada siapa mampu pertikai kehebatan Arif Aiman
Siapa mampu mempertikaikan Arif Aiman kini untuk bergelar antara pemain terbaik pernah dilahirkan di Malaysia pada alaf baharu?
Penghargaan buat JDT yang berjaya melahirkan Arif Aiman serta penghargaan sebenarnya buat Arif Aiman sendiri yang turut menaikkan nama pasukan tersebut gah di pentas Asia musim ini.
Tiga jaringan bintang muda Harimau Malaya itu kini meletakkan beliau di kedudukan kedua penjaring terbanyak ACLE serta mengatasi banyak nama-nama besar berpengaruh lain.
Salam pengenalan Obregon buat bola sepak Asia
Buat julung kalinya Jorge Obregon beraksi di Asia bersama JDT, pemain ini mencipta sejarah tersendiri untuk menjadi import pertama Harimau Selatan meledak gol dalam saingan ACLE.
Jika sebelum ini hanya nama Bergson memberi rasa gerun buat lawan, tiba giliran Obregon pula yang dijangka bakal mengikut jejak langkah pemain tersebut selaku mesin gol JDT.
Obregon juga sebelum ini sudah meledak gol di pentas domestik dan jaringan terbaharu itu dilihat mampu menjulang nama beliau untuk menjadi antara kesayangan ramai peminat.
Selain Obregon, Juan Muniz juga tampil selaku pemain import kedua JDT meledak gol di pentas ACLE musim ini mengatasi Shanghai Shenhua.
Pandangan sinis buat Natxo Insa?
Ramai menjangkakan Bidoglio tidak akan membawa turun Natxo Insa pada aksi bertemu Shanghai Shenhua kerana kononnya beliau sudah pun tidak berada di zaman kegemilangannya seperti suatu ketika.
Tapi siapa sangka, Natxo dibawa turun dalam kesebelasan utama serta mampu mengatasi penguasaan lawan yang ditunjangi nama hebat seperti Joao Teixeira.
Kesimpulannya, JDT terus konsisten mencipta rekod tatkala saingan ini baru sahaja menjengah dua perlawanan untuk memberi gambaran cukup positif kepada peminat.