JDT Disingkir Dari Piala AFC 2017 Oleh Ceres Negros Dengan Jaringan Tempat Lawan

Perjalanan JDT dalam kempen Piala AFC 2017 kini sudah berakhir.

Jika ada satu pengajaran yang boleh diambil oleh Benjamin Mora dan anak-anak buahnya daripada 2 pertemuan timbal balik menentang Ceres Negros ini, ia adalah – JDT perlu memperbetulkan kelemahan pertahanannya.

Pada perlawanan pusingan pertama separuh akhir play-off zon ASEAN di Larkin 2 minggu lepas, kelemahan Dominic Tan dijadikan punca JDT bolos 2 gol.

Dalam perlawanan pusingan kedua di Manila ini, Marcos Antonio dan Aidil Zafuan pula perlu dipersalahkan.

Marcos bersalah pada gol pertama Ceres Negros kerana gagal mengawal ketat larian Kota Kawase semasa bertahan dalam rutin sepakan percuma lawan.

Aidil pula bersalah pada kerana melakukan kekasaran kepada pemain Ceres Negros dalam kotak penalti pada minit-minit terakhir perlawanan.

Ketinggalan 2-1 kepada tuan rumah, Farizal Marlias menambah garam ke luka JDT apabila gagal mengawal emosi hingga diberikan kad merah. Kad merah ini merupakan paku terakhir dalam keranda impian JDT dalam kempen Piala AFC 2017.

JDT gugup pada separuh masa pertama

Meskipun JDT jelas pasukan pilihan dalam perlawanan ini, jelas mereka gagal menyesuaikan diri dengan pantas dalam perlawanan genting ini.

Ceres Negros jelas menguasai sebahagian besar perlawanan, sama ada dari segi serangan, tengah mahupun pertahanan. Ini terbukti apabila pasukan tuan rumah mempunyai 10 percubaan gol (berbanding 2 untuk JDT) dan 65% penguasaan bola.

Kredit: Twitter @AFCCup

Pada minit 26′, permulaan baik Ceres Negros membuahkan hasil apabila pertahanan mereka, Kota Kawase menyudahkan sepakan percuma Kevin Ingreso dari jarak dekat.

Meskipun Marcos Antonio ditugaskan menjaga beliau, Kawase tetap berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan kelahiran Brazil itu.

Masuk separuh masa kedua, JDT mula menggandakan asakan. Mora bertindak mengeluarkan Mahali Jasuli yang tidak efektif dan menggantikannya dengan Hazwan Bakri. Afiq Fazail pula diganti dengan Safawi Rasid.

Guerra hidupkan peluang JDT

Pada minit 65′ Gabby Guerra menceriakan majikannya dengan menjaringkan gol penyamaan. Berpunca daripada hantaran terus cantik daripada Gonzalo Cabrera, Guerra pantas menyudahkan peluang melalui rembatan leret dari jarak 18 ela.

Konsentrasi jelas bukanlah kekuatan JDT pada musim ini.

Pada minit-minit terakhir perlawanan, pengadil menghadiahkan penalti kontroversi kepada tuan rumah. Ini berikutan kesalahan Aidil Zafuan yang menjatuhkan pemain Ceres ketika rutin bertahan sepakan sudut.

Penyerang Ceres, Fernando Rodriguez tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut – sekaligus membolehkan pasukannya kembali mendahului JDT 2-1.

Keputusan tersebut jelas menganggu konsentrasi Farizal Marlias. Tidak lama selepas itu beliau bertindak menolak pengadil hingga diberi kad merah dan diperintahkan buang padang.

Insiden ini membuatkan pundit FoxSports, Shebby Singh mencadangkan supaya Farizal Marlias tidak diberi peluang menyarung jersi JDT lagi kerana ‘memalukan seluruh negeri Johor’.

Rumusan

Dengan kemenangan ini, Ceres Negros akan bertemu wakil Singapura, Home United dalam pertemuan akhir play-off zon ASEAN pada bulan Ogos nanti.

Sementara itu bagi JDT pula, kekalahan ini boleh dianggap satu penurunan prestasi memandangkan mereka sebenarnya mempunyai sumber kewangan dan pemain yang lebih baik berbanding lawan Filipina mereka.

Kredit: Twitter @AFCCup

Tetapi JDT perlu ingat, kalah pada hari ini tidak bermaksud kalah selama-lamanya. Apa yang membezakan pasukan hebat dengan pasukan biasa adalah, cara bagaimana mereka bangkit selepas kalah.

Dengan terkeluarnya JDT dari saingan Asia, mereka boleh menumpukan 100% perhatian mereka kepada saingan domestik – dengan kejuaraan Liga Super 2017 dan Piala Malaysia 2017 masih berada dalam sasaran.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN