Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengharungi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) seterusnya pada musim 2024/2025 dengan kali ini, satu lagi kelab dari China bakal dihadapi iaitu Shandong Taishan.
Setakat ini, wakil kelab dari Malaysia itu tampil membanggakan dalam empat perlawanan dihadapi apabila mereka merekodkan dua kemenangan, satu seri, serta sekali kekalahan untuk berada di tangga keempat Kumpulan A.
Malah, mereka berjaya memastikan aksi lalu berakhir dengan kemenangan ketika JDT mengetepikan gergasi Korea Selatan, Ulsan HD di halaman sendiri.
Untuk aksi ini, kedua pasukan tersebut sebenarnya telah mencipta pertemuan pada tahun 2019 lalu dengan kedua kemenangan berpihak kepada Shandong Taishan yang sebelum ini dikenali selaku Shandong Luneng.
Pastinya Hector Bidoglio mengimpikan kemenangan pada aksi ini dengan pelbagai persiapan rapi dibuat mereka untuk menghadapi cabaran getir tuan rumah.
Untuk aksi hari ini, kami melihat tiga pemain tonggak Shandong Taishan yang mungkin perlu diawasi sebaik mungkin oleh barisan pertahanan JDT jika mereka mengimpikan keputusan positif pada aksi kelima.
Valeri Qazaishvili
Pemain kedua termahal kelab tersebut antara pemain paling berbahaya kini menerusi keseimbangan beliau daripada segi rekod gol serta bantuan jaringan.
Beraksi di posisi sayap kiri, Qazaishvili setakat ini sudah pun mencipta 43 penampilan secara keseluruhan di pentas domestik serta Asia bersama kualiti cukup menyakinkan.
9 gol serta 15 bantuan jaringan telah direkodkan pemain yang mempunyai keupayaan tinggi daripada segi gelecekan serta ketajaman di hadapan gol itu.
Cryzan
Mesin gol dari Brazil ini telah pun membuktikan keupayaan beliau dengan meledak dua gol daripada tiga penampilan lalu di saingan ACLE musim 2024/2025 bersama kualiti cukup memberansangkan.
Kekuatan fizikal, ketajaman, serta licik menghidu peluang menjadi aset beliau setakat ini untuk meledak 14 gol serta 5 bantuan jaringan secara keseluruhan bersama kelab itu daripada 30 penampilan.
Selaku penyerang utama, Cryzan dilihat berjaya mencipta kombinasi cemerlang bersama rakan sepasukan lain serta bijak meletakkan diri di posisi tepat untuk menerima sebarang umpanan berbahaya.
Pedro Delgado
Bekas pemain kebangsaan Portugal itu boleh dianggap sebagai salah satu nadi utama yang menghidupkan serangan Shandong Taishan, ekoran kualiti dimilikinya.
Cepat melepaskan bola, bijak membuat hantaran berbahaya serta lincah di atas padang menjadikan dirinya sebagai pemain paling berbahaya jika Pedro berada pada prestasi terbaik.
Selaku pemain tengah serangan, Pedro telah pun merekodkan tujuh gol bersama dua bantuan jaringan daripada 30 penampilan musim ini buat kelab tersebut.