Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menamakan satu kawasan tempat duduk penonton di Stadium Sultan Ibrahim yang canggih sempena pengurus Luciano Figueroa yang telah mempunyai karier gemilang sebagai pemain Harimau Selatan sebelum bersara pada 2018.
‘Luciano Figueroa Stand’ adalah seksyen penyokong pertama yang diberikan nama di Stadium Sultan Ibrahim yang telah beroperasi pada bulan Februari 2020.
Kawasan tempat duduk penonton ini dirasmikan oleh pemilik JDT DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada hari Selasa. Turut hadir bersama adalah Duta Besar Argentina ke Malaysia, H.E Manuel Balaguer Salas.
“JDT adalah sebuah kelab yang memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah memberi sumbangan kepada bola sepak Johor — pada masa lalu dan masa hadapan. Kami sentiasa menghargai pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan yang telah berkhidmat dan mencipta sejarah bersama JDT,” titah DYAM Tunku Ismail
“Hari ini, kami mengiktiraf sumbangan bekas pemain kami dan pengurus pada masa ini, Luciano Figueroa, yang telah memenangi pelbagai trofi — termasuk detik bersejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Timur yang memenangi Piala AFC. Nama beliau akan selamanya tertera di stadium ini.”
Figueroa menyertai JDT pada tahun 2014 dan kekal selama dua musim sebagai pemain, menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan.
Bekas pemain kebangsaan Argentina ini memenangi dua kejuaraan Liga Super Malaysia (2014 & 2015), Piala Sultan Ahmad Shah pada 2015 dan Piala AFC 2015 dalam kemunculan pertama beliau sebelum kembali sebagai Duta Kelab pada tahun 2017.
Beliau menyarung jersi Merah Biru sekali lagi pada 2018 dan kemudian memenangi Piala Sultan Ahmad Shah yang keduanya dan juga Liga Super ketiganya.
Beliau dinamakan Pengurus JDT pada bulan Ogos 2018. Figueroa berjaya memenangi dua lagi Piala Sultan Ahmad Shah (2018 & 2019), Liga Super 2019 dan juga Piala Malaysia 2019 sebagai pengurus.
Baca artikel lain dari kami mengenai Stadium Sultan Ibrahim: