Seperti dijanjikan JDT pada hari ini memperkenalkan dua pemain import baharu yang berasal dari Sepanyol untuk memperkuatkan cabaran skuad Hariumau Selatan pada musim 2022.
Perkara itu disahkan oleh juara Liga Super Malaysia lapan kali berturut-turut sebentar tadi.
Dan seperti dijangka salah seorang daripada pemain tersebut adalah penjaring terbanyak Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura pada bulan lalu.
WELCOME TO THE HOME OF THE SOUTHERN TIGERS! #NewSigning#BienvenidoMaranon #CarliDeMurga#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/X7hnV1Pfw4
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) January 20, 2022
Pemain yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Bienvenido Maranon yang merupakan bekas penyerang kelab La Liga, Cadiz.
Maranon bagaimana pun amat berpengelaman dengan bola sepak di Asia Tenggara kerana telah beraksi bersama United City FC (dahulunya dikenali sebagai Ceres-Negros) sejak tujuh musim lalu.
Bukan sahaja dianggap sebagai salah seorang penyerang berbisa di Asia Tenggara, Maranon yang juga merupakan pemain naturalisasi Filipina telah membuktikan kemampuannya di peringkat lebih tinggi apabila muncul penjaring terbanyak di pertandingan Piala AFC pada musim 2019 dan 2020.
Selain Maranon, seorang lagi pemain kelahiran Sepanyol yang turut diumumkan JDT adalah Carli de Murga.
Nama bekas pemain pertahanan Terengganu FC ini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Harimau Selatan itu sejak Disember lalu selepas satu gambar tular di media sosial memaparkan De Murga duduk semeja di sebuah restoran bersama Martin Prest yang merupakan Pengarah Sukan JDT dan bekas pemain, Kiko Insa yang kini berkhidmat sebagai ejen.
Selain Maranon dan de Murga, JDT dijangka akan mengumumkan seorang lagi pemain dari Sepanyol akan menyertai JDT ketika latihan pra musim di Dubai.
Kehadiran tiga pemain import ini bersama JDT bermakna skuad Harimau Selatan memiliki 9 pemain import untuk bersaing di dalam empat pertandingan termasuk, AFC Champions League.
Pertandingan elit kelab bola sepak Asia itu membenarkan setiap pasukan bertanding mendaftarkan pemain import tanpa sebarang had pada musim ini, namun hanya boleh mendaftarkan empat pemain import maksimum di dalam skuad pada hari perlawanan.
Selain AFC Champions League, JDT turut akan beraksi di dalam pertandingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selepas dua musim pertandingan tersebut tidak diadakan.
JDT akan berlepas ke Dubai hujung minggu ini dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Spartak Moscow, Rodina Moscow, MSK Zilina dan Riga FC.