Johor Darul Ta’zim (JDT) masih lagi segar dengan kejayaan mereka untuk mengharumkan nama Malaysia dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) baru-baru ini ketika menewaskan kelab gergasi, Ulsan HD.
Namun, kejayaan itu turut seiring dengan sumbangan besar mereka kepada kedudukan semasa Malaysia dalam MA Ranking untuk kategori Asia Timur.
Menerusi perkongsian terbaharu laman Footy Rankings, Malaysia kini berada di kedudukan kelima terbaik bagi kategori Asia Timur dan berjaya mengetepikan Australia menerusi catatan mata semasa sebanyak 8.333.
Ianya berlaku selepas JDT berjaya menewaskan Ulsan HD untuk mengumpul 1.50 mata sekali gus meletakkan nama Malaysia kini seiring bersama Jepun, Korea Selatan, China, serta Thailand di keduduka kelima terbaik Asia Timur.
Secara keseluruhan pula, Malaysia meraih jumlah kutipan mata sebanyak 32.861 dan kita masih memiliki jurang jauh jika dibandingkan bersama Thailand.
— Footy Rankings (@FootyRankings) November 7, 2024
Konsistensi JDT untuk menyumbang mata buat negara saban tahun menjadikan kita kini berjaya meraih kedudukan cukup positif untuk membanggakan Malaysia di pentas Asia serta menjadi negara dari Asia Tenggara kedua dalam carta lima terbaik.
Untuk rekod semasa, skuad kendalian Hector Bidoglio tampil bersama aksi cukup menyakinkan selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan ACLE musim ini.
Dua kemenangan, satu kekalahan bersama satu seri dicatat pasukan itu dan carta semasa menyaksikan JDT kini berada pada kedudukan keempat bagi Kumpulan Zon Timur.
Kejayaan terbesar JDT bukan sahaja terarah kepada pasukan, malahan bintang muda Harimau Malaya iaitu Arif Aiman Hanapi juga turut mengukir nama selaku antara penjaring terbanyak kejohanan itu.
Walaupun perjalanan saingan tersebut masih lagi panjang, JDT dilihat berpeluang untuk terus memastikan sumbangan mata negara bertambah jika momentum positif kelab itu diteruskan.
Terarah kepada satu lagi wakil kelab Malaysia iaitu Selangor pula, mereka turut menyumbang mata kepada negara walaupun pasukan itu mencatat kekalahan terbaharu kepada Jeonbuk Hyundai dalam saingan AFC Champions League Two (ACL 2).
Ini kerana, The Red Giants sebelum itu telah mencatat dua kemenangan serta satu keputusan seri untuk meraih 6.667 mata dan dianggap sangat penting kepada Malaysia.
Kami di Semuanya BOLA berharap supaya kedua pasukan ini terus giat mengharumkan nama Malaysia serta memastikan kelab tempatan negara kita mampu memberi persaingan kepada pasukan gergasi-gergasi Asia lain.