JDT Mungkin Turun Tanpa Hariss Harun Sekali Lagi

Hariss Harun JDT Liga Super 2020

Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin akan turun sekali lagi tanpa khidmat kapten mereka, Hariss Harun yang masih mengalami masalah kecederaan namun, ia lansung tidak menggusarkan pengendali pasukan, Benjamin Mora.

Ini kerana, menurutnya, JDT masih memiliki barisan pemain tengah yang terbaik dan mampu untuk mengambil alih posisi tersebut sementara menanti Hariss Harun kembali pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialaminya.

Hariss Harun terlepas perlawanan Liga Juara-Juara (ACL) 2020 ketika Harimau Selatan tampil gah menewaskan Suwon Bluewings 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

“Peluang 50 peratus sama ada Hariss [Harun] diturunkan atau tidak. Kecederaan yang dialami di lutut kirinya agak serius dan dia kini sedang menjalani proses pemulihan,” jelas Benjamin Mora mengenai status kecederaan pemain tengah itu.

“Keadaan Aidil Zafuan [Abd Radzak] pula semakin pulih dan kita tengok sama ada dia boleh beraksi malam esok [malam ini],” memetik kenyataannya di Berita Harian.

Pastinya tiada masalah untuk juara Liga Super 2019 kerana kedua-dua posisi memiliki pengganti yang hampir sama kualiti dengan pemain yang tercedera.

Berdepan UiTM FC untuk saingan CIMB Liga Super 2020 pada malam ini, Benjamin Mora tidak mahu mengambil mudah saingan yang bakal diberikan pendatang baharu liga tersebut sambil menekankan yang penat bukan batu penghalang skuadnya.

Sejak membuka tirai saingan Liga Super berdepan Kedah pada 28 Februari lalu, JDT berdepan pula dengan wakil Korea, Suwon Bluewings pada 3 Mac dan selepas empat hari, mereka kembali bermain di liga. Tiga perlawanan dalam tempoh seminggu.

“Saya mahukan pemain cergas terutama aspek fizikal dan mental. Saya percaya yang mereka tidak berdepan masalah untuk kembali berada di tahap memuaskan,” ujarnya.

“Namun saya tidak bimbang kerana beberapa pemain seperti Leandro [Velazquez], Matthew [Davies] dan Liridon [Krasniqi] bersedia kembali beraksi,” tambahnya lagi.

“Di atas kertas UiTM FC mungkin bukan tandingan tetapi pasukan seperti ini yang kita harus berjaga-jaga kerana mereka akan turun habis-habisan untuk membuktikan [kemampuan mereka] kepada peminat bola sepak,” ulasnya mengenai lawan.

Ketika ditanyakan mengenai kemungkinan penggiliran pemain akan mula dibuat olehnya, Benjamin Mora mengatakan ia adalah langkah yang terbaik ketika ini.

“Mungkin akan ada penggiliran pemain,” ujarnya sambil menegaskan yang ia satu langkah terbaik bagi menjamin pemainnya cergas dan mendapat rehat yang cukup.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN