Berita penyertaan pemain kacukan Sepanyol-Indonesia, Jordi Amat ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti diketahui telah mendapat pelbagai reaksi terutamanya dari kalangan penyokong negara kepulauan terbesar di dunia itu.
Ada yang menyambut perkhabaran tersebut dengan respon positif disebabkan reputasi JDT selaku salah sebuah kelab yang berprestij di Asia.
Welcome to the Home of the Southern Tigers!#JordiAmat#NewSigning#JDTFamily pic.twitter.com/hK2OBaQM0e
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 29, 2022
Tetapi tidak kurang juga komen-komen bersifat negatif yang menentang keras hasrat pemain kelahiran Catalan itu untuk meninggalkan Eropah dan sekadar meneruskan karier profesionalnya di Asia Tenggara.
Pada awalnya mereka teruja dengan perkembangan bahawa seorang pemain berpengalaman luas di Eropah bakal dinaturalisasikan dan seterusnya menyertai skuad kebangsaan Indonesia kerana mempunyai pertalian darah dengan neneknya yang berasal dari Makassar.
Namun keputusan Jordi Amat untuk menyertai JDT dianggap tidak begitu baik untuk perkembangan kariernya kerana beranggapan taraf Liga Malaysia jauh lebih rendah berbanding Liga Thailand, Jepun mahupun Korea Selatan.
Penyokong Indonesia Kecewa Jordi Amat Pilih JDT Berbanding Kelab Eropah
Malah ada yang beranggapan Jordi Amat sekadar mahu mengeksploitasi kewarganegaraan Indonesia hanya semata-mata untuk beraksi bersama JDT, lalu mahu Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) membatalkan hasrat untuk menaturalisasikan pemain berkenaan.
Permata Asia Tenggara
Meskipun begitu, pandangan berbeza disuarakan oleh pemain kebangsaan Indonesia yang sedang beraksi di Liga Malaysia iaitu Saddil Ramdani yang melihat perkembangan itu sepatutnya menjadi sesuatu yang positif buat bola sepak Indonesia.
Dalam satu video oleh media HarimauMalaya, penyerang Sabah itu yang ditemui selepas aksi Liga Super menentang Selangor mengakui JDT merupakan pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini.
Maka pastinya ia menjadi faktor pendorong kepada Jordi Amat untuk menyertai kelab tersebut, lantas mendoakan agar pemain tersebut membuat keputusan terbaik dalam kariernya.
“Menurut saya apa pun keputusan yang diambil oleh Jordi Amat itu mungkin yang terbaik buat dia dan kita semua tahu bahawa JDT adalah pasukan terbesar di ASEAN, pasukan yang berkualiti dan sangat baik,” ujar pemain berusia 23 tahun itu.
“Pastinya semua pasukan ingin mencontohi atau menjadi seperti JDT di kemudian hari.”
Jika melihat kepada respon Saddil itu, tentunya beliau memahami keterujaan Jordi Amat yang mahu menyertai revolusi Harimau Selatan yang dicetuskan oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ), Pemangku Raja Johor selepas melihat segala projek dan perkembangan dan kejayaan kelab dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Kelab dari selatan tanah air itu telah meletakkan satu penanda aras bukan sahaja mengenai kejayaan di atas padang, tetapi merangkumi segenap aspek termasuk pengurusan profesional, fasiliti serba lengkap dan sebagainya.
Malah JDT baru-baru ini telah mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang membuktikan pasukan dari Liga Malaysia mampu memberi tentangan hebat kepada kelab-kelab jagoan Jepun dan Korea Selatan.
Aset Indonesia di pentas Asia
Dengan kontraknya bersama kelab Liga Belgium, KAS Eupen akan berakhir pada 30 Jun ini, JDT pastinya beruntung jika dapat membawa masuk pemain import berkualiti dari Eropah secara percuma dan mengisi kuota pemain Asia Tenggara jika beliau sah mendapat pasport Indonesia dalam masa terdekat.
“Dia akan menjadi salah satu aset terbesar Indonesia kerana sudah bermain lebih seratus perlawanan di La Liga dan lebih seratus perlawanan di English Premier League,” ujar TMJ dalam sesi dialog pengurusan JDT bersama penyokong dan media di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin lalu.
“Saya rasa jikalau Indonesia tidak ambil dia, itu adalah satu satu kerugian yang amat besar. Dia pun memang bersemangat untuk bermain bersama Indonesia dan itu saya nampak sebagai satu peluang untuk JDT dapatkan seorang pemain Sepanyol yang begitu berpengalaman dan berkualiti untuk bermain dengan pasukan kita.”
Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemilik JDT : 'Jordi Amat ke Johor Darul Takzim… Kami dapat investasi 8 Millon Euro selama 3 tahun… Jordi Amat aset Timnas Indonesia…'
Di samping hal tersebut, TMJ ini visi-misinya SERU juga jika ada pemegang klub seperti beliau. pic.twitter.com/wGxMtq5PTO— Tommy Desky (@Tommy_desky) June 28, 2022
Pada usia 30 tahun, peringkat umur ini adalah cukup baik buat seseorang pemain untuk mencapai tahap berbeza dan meneroka pengalaman baharu dalam kariernya. Sekiranya kekal di Eropah, Jordi Amat mungkin akan terus menjadi seorang ‘pemain biasa-biasa’ sahaja.
Tetapi dengan menyertai JDT dan bakal beraksi di pentas tertinggi seperti ACL, beliau bukan sahaja boleh menjadi pemain yang berpengaruh di rantau ini, tetapi mungkin berpeluang untuk diangkat sebagai salah seorang pemain terbaik di benua Asia.
Indonesia di mata JDT
Hubungan JDT dengan Indonesia juga bukanlah baharu memandangkan kelab itu juga pernah mengikat prospek muda berbakat dari negara jiran tersebut iaitu Syahrian Abimanyu.
Bekas pelatih Levante yang pernah dilabel sebagai ‘wonderkid‘ bola sepak Indonesia itu sempat dipinjamkan ke kelab Liga Australia, Newcastle Jets di mana beliau sempat membuat tiga penampilan sebelum mencapai persetujuan untuk menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta pada awal tahun ini.
Ini bermaksud JDT mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk memperkasakan status mereka sebagai pasukan gergasi di Asia Tenggara dengan membina hubungan yang positif dan memperkukuhkan jenama mereka di Indonesia.