Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan kepada ramai mereka bukan sahaja ‘jaguh kampung’ seperti yang dicanangkan sebelum ini apabila kelab tersebut kini gah di pentas antarabangsa.
Terima kasih perlu diucapkan kepada Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selepas usaha baginda sejak bertahun-tahun lalu membuahkan hasil.
Selepas pelbagai usaha dilakukan baginda untuk menjadikan JDT selaku salah satu kuasa besar dalam dunia bola sepak tempatan, kini Harimau Selatan menjadi wakil Malaysia untuk menjadi kuasa besar di peringkat Asia.
Menerusi perkongsian dibuat oleh Johor Southern Tigers (JST), JDT menjadi satu-satunya kelab di Malaysia yang berjaya meraih kedudukan ke-10 terbaik di pentas Asia bersama kelab-kelab berpengaruh lain.
Kedudukan semasa menyaksikan JDT kini berada di tangga ke-8 Asia serta di kedudukan pertama selaku kelab paling berpengaruh Asia Tenggara.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di ranking ke-279 dunia, ke-8 di Asia dan pertama di Asia Tenggara berdasarkan data yang dikeluarkan laman Opta Power Ranking pada 28 Ogos 2024.
“Laman analisis bola sepak ini menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia. Tidak ada pasukan lain dari Malaysia berada dalam senarai Top 1,000 seluruh dunia,” ujar laman tersebut.
Adakah mustahil untuk pasukan lain menjadi hebat seperti JDT pada suatu hari nanti dengan menempatkan diri bersama kelab-kelab berpengaruh lain di pentas Asia?
Segalanya tidak mustahil jika sesebuah kelab memiliki sistem pengurusan yang lebih profesional di segenap arah untuk menggerakan pasukan bertambah maju ke hadapan.
Tidak perlu malu untuk menjadikan JDT sebagai contoh terbaik dengan pasukan itu turut melantik golongan profesional untuk menggerakan kelab tampil lebih hebat.
Seiring dengan profesionalisme di bahagian pengurusan yang bijak mengawal kewangan dan perjalanan kelab, mereka juga memilih kejurulatihan terbaik untuk memudahkan suntikan DNA ke dalam taktikal pasukan.
Walaupun JDT sudah menukar beberapa jurulatih sejak awal kemunculan, pasukan itu tidak menghadapi isu konsistensi daripada DNA diterapkan dan sudah terbukti di pentas antarabangsa.
Akhir sekali, tiada tempat untuk mana-mana pemain yang menyertai JDT sekadar sebagai penumpang, kerana masing-masing mengetahui apa perlu disumbangkan buat kelab.
Malah, JDT juga tidak memperkecilkan isu anak jati Johor atau ubi kerana Feroz Baharuddin, Arif Aiman Hanapi, Afiq Fazail sudah membuktikan kelas mereka tersendiri.
Tidak sukar untuk jadi seperti JDT sebenarnya, apa yang menjadikan ianya mustahil kerana kelab lain tidak memiliki Tunku Ismail untuk menjadi watak utama kejayaan sesebuah pasukan seperti Harimau Selatan.