JDT tampil dalam perlawanan ini sebagai juara Liga Super 2017. Malam ini adalah malam yang dinanti-nantikan oleh kesemua penyokong JDT sempena penyampaian trofi kejuaraan Liga Super 2017.
Tampil dengan formasi 4-3-3, sudah tentu JDT tampil dalam perlawanan ini untuk menjadikan ia sebagai malam yang sempurna buat penyokong-penyokong mereka.
Kelantan masih ada perkara yang perlu diperjuangkan dengan survival di Liga Super 2017 menjadi taruhan utama. Perlantikan Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai Presiden KAFA yang baru adalah tonik positif yang ditunggu-tunggu oleh keseluruhan skuad Kelantan.
Formasi 4-4-2 menjadi taruhan Zahasmi Ismail pada malam ini dan kemenangan adalah hadiah terbaik untuk menyambut Presiden KAFA yang baru sahaja dilantik itu.
Hadirnya skuad The Red Warriors di Larkin pada malam ini, mereka pasti ingin mengingatkan seluruh pengikut dan pemerhati bola sepak tanah air, bahawa kini mereka telah bersedia dan masih bernyawa untuk terus berjuang.
Pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali meniupkan wisel sepak mula perlawanan.
Separuh masa pertama
Perlawanan bermula agak seimbang. Kedua-dua pasukan cuba melakukan gerakan ke arah gawang lawan masing-masing dalam usaha mencari rentak awal perlawanan.
2 sepakan penjuru dalam tempoh 6 minit, adalah indikasi jelas Kelantan mencari sesuatu dari perlawanan ini.
Tindakan pemain pertahanan Kelantan, Qayyum Marjoni Sabil mendada bola di dalam kotak penalti untuk penjaga gol Khairul Fahmi hampir mengundang padah apabila bola terkena tangan pemain pertahanan tersebut.
Pengadil menganugerahkan sepakan penalti pada minit ke-10 untuk kesilapan tersebut.
Namun begitu Khairul Fahmi Che Mat bijak membaca sepakan bekas rakan sepasukannya, Mohammed Ghaddar untuk menafikan JDT gol pendahuluan.
Minit ke-15 perlawanan, Gabriel Guerra menerima hantaran lintang cantik dari S.Kunanlan, namun rembatannya tidak tepat mengenai bola sebelum pertahanan Kelantan mengawal keadaan.
Sepakan percuma yang diperolehi oleh JDT pada minit ke-19 akhirnya memberi padah buat Kelantan
Gerakan set piece yang dimulakan oleh Safiq Rahim mencari S.Kunanlan, memperdayakan Khairul Fahmi dengan percubaan bola lambung, menerjah jaring untuk gol pendahulan pasukan JDT. Kedudukan semasa, JDT 1-0 Kelantan.
JDT terus melakukan beberapa gerakan menarik dan kemas selepas gol pendahulan tersebut, dan hampir menambah jaringan melalui Gabriel Guerra dan kemudian sekali lagi melalui tandukan Natxo Insa pada minit ke-25 perlawanan.
Kelantan sekali sekala melakukan serangan balas dengan menghantar bola lambung mencari Alessandro Celin, namun serangan-serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh pertahanan JDT.
JDT melebarkan jaringan pada minit ke-37 perlawanan apabila Gonzalo Cabrera menyambar hantaran lintang Gabriel Guerra dari jarak dekat untuk juara Liga Super 2017 itu mendahului 2-0.
Qayyum Marjoni menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning dalam perlawanan ini selepas terjahan liarnya terhadap Safiq Rahim pada minit ke-39 perlawanan dihukum oleh pengadil.
JDT terus menguasai perlawanan sehingga pengadil meniupkan wisel, tanda tamat separuh masa pertama perlawanan.
Separuh masa kedua
JDT meneruskan rentak cemerlang pada separuh masa kedua dengan hantaran-hantaran pendek dan menarik. Minit ke-50 perlawanan, Ghaddar berpeluang melebarkan kedudukan, namun rembatan selepas satu pusingan badan yang menarik, melambung tinggi.
Abaou Bakr Al Mel terlepas peluang terbaik untuk Kelantan merapatkan kedudukan selepas gagal meyambung bola hantaran lintang Indra Putra dari sebelah kanan gawang JDT.
Minit ke-55 perlawanan, JDT terus selesa berada di hadapan selepas sepakan percuma Safiq Rahim, mengelirukan keseluruhan pertahanan Kelantan menuju penjuru gawang untuk jaringan ketiga JDT pada malam ini. Kedudukan semasa JDT 3-0 Kelantan.
JDT terus menguasai perlawanan selepas itu dengan percubaan-percubaan berbahaya daripada gandingan trio Guerra-Ghaddar-Cabrera.
Khairul Izuan hampir membolosi gawang JDT pada minit ke-61 perlawanan selepas menerima lorongan pendek daripada Abou Bakr, namun percubaannya sempat dikuis keluar oleh Haziq Nadzli.
Gonzalo Cabrera menjadi pemain kedua dilayangkan kad kuning pada minit ke-68 perlawanan selepas menjatuhkan lawan.
Kemasukkan Nor Farhan Muhammad dan juga Badri Mohd Radzi pada separuh masa kedua sedikit sebanyak memperkemaskan memperkemaskan pergerakan bola oleh pasukan Kelantan. Bagaimanapun tidak banyak yang dilakukan oleh kedua-duanya untuk mengancam Haziq Nadzli di hadapan gawang JDT.
JDT turut memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun gagal dimanfaatkan sehingga wisel penamat ditiup untuk kemenangan dan 3 lagi mata tambahan untuk sang juara.
Keputusan penuh selepas tamat perlawanan, JDT 3-0 Kelantan.
JDT: Izham Tarmizi (Haziq Nadzli), Safiq Rahim (C), Gabriel Guerra (Safawi Rasid), Gonzalo Cabrera, S. Kunanlan, Gary Steven Robbat, Fazly Mazlan, Mohammed Ghaddar, Junior Eldstàl, Fadhli Shas (Aidil Zafuan), Natxo Insa
KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, S. Subramaniam, Qayyum Marjoni Sabil, Abou Bakr Al Mel, Mamadou Danso, S. Thinagaran (Badhri Mohd Radzi), Mohd Daudsu Jamaluddin, Khairul Izuan Rosli, Morgaro Gomis , Indra Putra Mahayuddin (C), Alessandro Celin (Nor Farhan Muhammad)