Mungkin kerana sudah muak bergelar naib juara Liga Super Malaysia (MSL) selama dua musim berturut-turut, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kali mensasarkan untuk memecah tradisi untuk muncul juara pada musim ini.
Semua sedia maklum bagaimana JDT mendominasi kejuaraan liga (MSL) sejak lapan musim lalu. Namun ini tidak bermakna Kedah akan berdiam diri jika apa yang dikatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media sebentar tadi dijadikan sandaran.
Menurut Sanusi sasaran muncul juara sekali gus menamatkan dominasi JDT pada musim ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya pasukan tersebut mempunyai sumber kewangan yang kukuh.
“Kita [Kedah] punya sasaran sudah tentu untuk menewaskan JDT dan menjuarai Liga Super musim ini. Cuma ada sedikit kesukaran kerana kekurangan dana yang dihadapi oleh pasukan,” ujar beliau pada hari ini.
“Kita punya adunan tu cukup hebat. Orang Kedah ini kalau kata pulun itu memang habislah, tak ada apa dah halangan di depan. Tinggal lagi masalah itu saja (masalah dana). Saya rasa JDT bukan lawan kita lagi kalau cukup.
“InsyaAllah bukan mustahil. Kita akan jadi juara Liga Super,” kata Sanusi selepas Majlis memperkenalkan penaja dan rakan rasmi KDA FC musim 2022.
Keyakinan untuk Kedah mampu mencapai kejayaan pada musim ini turut dikongsi oleh Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
“Kita cuba sasarkan juara piala liga dan juga salah satu pertandingan sama ada Piala FA atau Piala Malaysia, satu piala.
“Kita sudah dua tahun di kedudukan kedua, jadi mungkin ada peningkatan dan itu biasa dalam sebarang industri pun. Tahun ini, Insya-Allah berkat dokongan Datuk Seri dan semua penyokong Kedah kita nak pulun habis-habisan,” katanya.
Welcome back Sang Kenari!!!🔰#KDAFC#PulunKedahPulun#SangKenari pic.twitter.com/s6rsEGsK0d
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) February 9, 2022
Turut berlangsung pada hari ini adalah pengumuman secara rasmi Kedah kembali dikenali sebagai Sang Kenari.
Sebuah video telah dipaparkan ketika majlis memperkenalkan penaja dan rakan rasmi KDA FC untuk musim 2022 yang telah berlangsung sebentar tadi untuk pengumuman tersebut.
Selamat kembali Sang Kenari yang penuh legasi dan selamat maju jaya untuk musim 2022!