Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki peluang cukup cerah pada aksi AFC Champions League Elite (ACLE) hari ini bagi pusingan 16 terbaik kedua menentang cabaran wakil kelab dari Thailand, Buriram United.
Pada aksi lalu, wakil kelab dari Malaysia ini berjaya mengikat seri Buriram United di gelanggang lawan dengan aksi masing-masing terikat seri tanpa jaringan.
Kejayaan JDT untuk mengikat gergasi dari Thailand itu di gelanggang lawan tanpa membenarkan mereka mendapatkan sebarang gol, menyaksikan Harimau Selatan memiliki lebih besar hari ini bagi mengatasi lawan.
Ianya kerana skuad kendalian Hector Bidoglio bakal beraksi di halaman sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri yang merupakan kubu kuat pasukan tersebut sejak beberapa musim lalu.
Malah, kehadiran ribuan penyokong setia JDT juga sedikit sebanyak mampu menaikkan moral para pemain untuk aksi hari ini menerusi sorakan padu sepanjang aksi berlangsung.
Sorakan itu juga sedikit sebanyak mampu menghadirkan rasa gerun buat pelawat untuk menampilkan aksi terbaik mereka berdepan pasukan tuan rumah.
Terarah kepada permainan, dijangka Hector Bidoglio bakal membuat beberapa perubahan untuk memerangkap lawan terutama di posisi tengah serta serangan mereka dengan membabitkan beberapa pemain.
Jika aksi lalu menyaksikan JDT beraksi dengan sedikit pasif dan bergantung kepada siri serangan balas untuk cuba mendapatkan gol, pastinya Hector akan mengubah beberapa perkara demi memastikan wakil kelab dari Malaysia itu meraih kejayaan.
Aksi di pusingan 16 terbaik ini merupakan sesuatu yang sangat besar, dan JDT tidak boleh membuat sebarang kesilapan mudah atau sedikit terleka kerana segalanya bakal ditentukan pada hari ini.
Apatah lagi lawan juga sudah membuktikan kekuatan mereka menerusi corak permainan tersusun serta barisan pemain cukup berwibawa di segenap posisi untuk mengimbangi JDT.
Apapun, suka untuk kami melihat bagaimana kitaran pemain yang bakal digunakan oleh Hector pada hari ini untuk memastikan pasukan tersebut berubah berbanding aksi lalu.
Bintang utama baharu mereka seperti Samu Castillejo juga antara tarikan utama pada aksi hari ini kerana aksi beliau sebelum itu sudah dianggap menyakinkan walau ia merupakan perlawanan sulung.
Apapun, kami di Semuanya BOLA mendoakan supaya kejayaan bakal mengiringi JDT pada hari ini supaya mereka terus membanggakan nama negara di pentas tertinggi Asia.