Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengecam JDT kerana belum lagi melangsaikan pampasan atau yuran perpindahan Akhyar Rashid kepada mereka.
Menurut Sanusi beliau kecewa keadaan itu berlaku walaupun kelab dari selatan tanah air itu sepatutnya sudah menjelaskan bayaran sepatutnya setelah diarahkan berbuat demikian oleh badan berwajib.
“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan mereka (JDT) perlu membayar kepada Kedah, kata Sanusi dalam satu sidang media di Alor Setar pada hari ini.
“Kata kaya sangat, awat [kenapa] tak bayaq [bayar]?
JDT lamar Akhyar, Kedah enggan mengalahhttps://t.co/2ApBukWHZ1 pic.twitter.com/kuvKJXphie
— SinarHarian (@SinarOnline) December 19, 2018
“Dia suruh saya pi sana [ajak saya turun ke sana] nak setle, saya tak mau pi. Saya kata bukan salah saya. Siapa salah dia mailah jumpa. Kami miskin, tetapi kami ada maruah. Jangan anggap pasukan miskin ni boleh diratah-ratah begitu saja.”
Terlebih dahulu Sanusi turut menyelar perbuatan kelab-kelab kaya di Malaysia yang sesuka hati memancing pemain muda berbakat, tetapi akhirnya tidak menurunkan pemain tersebut untuk beraksi, dan hanya membiarkan mereka memanaskan bangku pemain simpanan.
Walaupun tidak menyatakan secara khusus mana-mana pemain, Sanusi dipercayai merujuk kepada Akhyar yang meninggalkan Kedah secara kontroversi pada 2018 untuk berhijrah ke JDT.
“Jika mereka meletak budak itu di bangku simpanan terlalu lama, dia akan menjadi ‘pengkaq’ (berprestasi buruk). Ini adalah budaya pengurusan yang tidak baik dalam industri bola sepak kita,” kata Sanusi seperti yang dipetik daripada Berita Harian.
“Mereka membeli pemain cemerlang dari pasukan miskin dengan tawaran lumayan hanya untuk mengekalkan pemain di bangku simpanan, jadi budak-budak itu akhirnya menjadi ‘pengkaq’.”
Sanisi juga berpendapat prestasi Akhyar telah merosot dan berbeza berbanding beliau mewakili Kedah sebelum ini.
“Saya melihatnya [Akhyar] bermain dalam perlawanan baru-baru ini. Dia tidak dapat menjaringkan gol walaupun sudah berada di dalam kotak penalti.
“Saya kasihan dengan budak itu, dia seorang pemain yang berkaliber ketika bermain untuk Kedah, tetapi selepas menyertai pasukan lain yang menawarkan tawaran lumayan kepadanya, dia tidak dapat bermain secara kompetitif, jadi akhirnya dia menghidap ‘kepengkaran’,” katanya lagi.