Pengarah sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest sebentar tadi mengumumkan pengurusan kelab itu akan membuat pelaburan besar untuk program sains sukan bagi memastikan prestasi pemain mereka sentiasa berada di tahap terbaik.
Beliau membuat pengumuman tersebut melalui laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers dan menjelaskan pelaburan itu akan mula dilakukan menjelang bulan Disember tahun ini.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim telah membuat keputusan untuk membelanjakan RM1.4 juta untuk program sains sukan bagi mendapatkan yang terbaik dari Eropah dan juga Asia untuk membantu pemain-pemain dalam pelbagai aspek.
“Ini termasuk dengan kaedah latihan fizikal yang berbeza, menggunakan peralatan-peralatan yang berbeza, penjagaan pemakanan yang lebih baik serta bantuan psikologi untuk membantu mereka dari aspek mental. Inilah pelaburan yang akan kami lakukan menjelang Disember ini,” kata kenyataan daripada Martin Prest.
Apa itu Sains Sukan?
Sains sukan merupakan satu cabang dalam sains yang mengkaji respons manusia terhadap aktiviti fizikal. Jadi, bidang ini merangkumi kinesiologi, biomekanik, anatomi dan fisiologi, dan lain-lain topik seperti pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi, dan psikologi dalam sains sukan.
Sains sukan bukanlah satu bidang khas yang melatih seseorang supaya menjadi cergas dan cerdas dalam melakukan suatu permainan ataupun aktiviti dan seterusnya ditingkatkan prestasinya. Sebaliknya ia membantu memahami tindak balas badan manusia seperti organ, sistem saraf, sistem otot, dan tenaga dalam badan semasa melakukan sesuatu sukan.
Dalam erti kata lain, pendidikan jasmani adalah satu amalan untuk meningkatkan teknik kesukanan, manakala sains sukan adalah bertujuan menyampaikan ilmu tentang perkaitan badan dan sukan.
JDT juga merupakan pasukan yang pertama dalam saingan Liga Malaysia bakal mempraktikkan program sains sukan secara menyeluruh.