Johor Darul Ta’zim (JDT) bawah 14 (B-14) tampil cemerlang pada saingan Supermokh Cup 2024, apabila mereka muncul selaku juara sebentar tadi hasil kemenangan 2-1 mengatasi Buriram United di pentas akhir.
Tatkala ramai memberi tumpuan kepada pasukan utama JDT di pentas domestik serta antarabangsa, nyata kelab ini juga kian pesat membangun daripada seri pengenalan bintang-bintang muda.
Menjadi antara akademi yang paling berkualiti di Malaysia kini, JDT membuktikan mereka mampu untuk melahirkan bakat-bakat muda berbakat dari seluruh pelusuk negeri.
Pentas Supermokh Cup menjadi medan terbaik buat mereka untuk menguji kekuatan semasa sambil membuktikan usaha Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berbaloi dalam menaikkan lagi pembangunan bola sepak negara.
Di pentas akhir petang tadi, JDT meraih dua jaringan hasil ledakan daripada bintang muda iaitu Fareez Danial untuk menamatkan hari gemilang Harimau Selatan sepanjang mengharungi kejohanan tersebut.
Lebih menarik, Fareez merupakan pemain yang beraksi di posisi pertahanan serta merupakan kapten buat skuad JDT B-14 dan mempamerkan bisanya di pentas final ini untuk membantu pasukan tersebut meraih kemenangan, sekali gus merangkul gelaran juara.
Sepanjang kejohanan berlangsung, bukan hanya Fareez menjadi pemain paling menonjol buat JDT, tetapi dua lagi tunas muda dianggap memiliki masa depan cukup cerah dalam dunia bola sepak.
Fahim Akmal yang bertindak selaku penyerang utama JDT B-14 telah pun meledak empat gol sepanjang kejohanan ini berlangsung dan memiliki ketajaman cukup baik untuk bergelar penyerang masa depan negara.
Sementara penjaga gol pasukan tersebut iaitu Airil Ridzman juga menunjukkan kualiti tersendiri menerusi kematangan beliau dalam memberi arahan serta memiliki refleksi cukup bagus menepis beberapa percubaan berbahaya sepanjang kejohanan berlangsung.
Malah, anak jati Johor iaitu Aqif Syameel juga memainkan peranan cukup besar bersama skuad pembangunan JDT ini dengan beliau beraksi selaku sayap kiri serta memperoleh satu gol.
Semua pemain ini terbentuk dengan begitu baik hasil didikan serta pemantauan daripada pencari bakat JDT sendiri, Diego Griffa yang tidak berputus asa mengesan bakat-bakat muda berkualiti.
Catatan keseluruhan JDT B-14 sepanjang kejohanan ini berlangsung menyaksikan mereka meraih tiga kemenangan serta satu kekalahan daripada empat perlawanan.
Sebanyak 10 gol terhasil daripada siri serangan JDT B-14 sepanjang kejohanan ini berlangsung dan mereka hanya dibolosi empat jaringan sahaja.
Sudah tentu kami di Semuanya BOLA ingin mengucapkan tahniah buat skuad pembangunan JDT yang dilihat sangat aktif menyertai pelbagai kejohanan serta tampil membanggakan Malaysia.
Malah, mereka juga seolah memberi nafas baharu mengenai bola sepak di Malaysia mampu bersaing sengit dalam aksi antarabangsa walau di pentas pembangunan jika memiliki pimpinan berkualiti.