Pertahanan kental Buriram United iaitu Dion Cools mengakui lawan mereka hari ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai sebuah pasukan yang sangat hebat untuk dihadapi mereka di pentas AFC Champions League (ACLE).
Terdahulu, JDT bakal melayan kunjungan Buriram United hari ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor bagi siri perlawanan keenam ACLE musim 2024/2025 dalam misi untuk mencapai kemenangan.
Setakat ini, kedua pasukan tersebut saling terikat tujuh mata dan ia sudah tentu akan menjadi aksi cukup sengit kerana masing-masing ingin melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Selaku pelawat, Cools mengakui Buriram United perlu berwaspada akan kualiti permainan yang akan diterjemahkan kelab tersebut untuk menghadapi cabaran mereka.
Malah Cools juga mengetahui kualiti beberapa pemain JDT yang dianggap sangat berkualiti ketika mereka bersama-sama di kem Harimau Malaya.
Disebabkan itu beliau menasihati rakan sepasukannya supaya sentiasa berwaspada akan ancaman mampu dibawa oleh pasukan tuan rumah pada aksi hari ini.
“Saya mengenali beberapa pemain JDT yang beraksi dalam pasukan itu dan memberi maklumat kepada jurulatih (Loss) corak taktikal yang bakal digunakan pasukan lawan nanti namun kami perlu waspada kerana mungkin mereka tampil dengan corak permainan berbeza.
“Secara umumnya, JDT adalah pasukan yang hebat dan kami harus berada dalam keadaan terbaik untuk menyaingi mereka kerana kelebihan pasti untuk pasukan itu yang beraksi di laman sendiri.
“Sama ada saya akan beraksi di posisi bek tengah atau bek kanan tidak timbul sebarang masalah kerana saya pernah beraksi di posisi berbeza dalam saingan Liga Thailand dan akan menyesuaikan setiap posisi yang akan diarahkan untuk saya beraksi,” kata bekas pemain pembangunan Belgium itu pada Harian Metro.
Pada masa sama, pengendali utama Buriram United dari Brazil iaitu Osmar Loss mengakui persiapan rapi sudah dibuat beliau kepada para pemain untuk aksi menentang JDT.
Malah, dirinya mengakui aksi berdepan JDT dianggap sangat penting kerana mereka memburu kedudukan lapan pasukan terbaik untuk ke pusingan seterusnya.
“Setiap perlawanan yang kami harungi dalam saingan ACLE berbeza walaupun kami sudah mengumpul tujuh mata dan tewas dua aksi lalu dan ketika aksi menentang kelab dari Jepun kami tidak bernasib selepas Sasalak Haiprakhon dilayangkan kad merah dan digantung dua perlawanan.
“Aksi menentang JDT pastinya berbeza dan kami jangkakan ia perlawanan berintensiti tinggi namun kami harus bersedia dan perlu melihat ke hadapan dengan bersedia untuk menghadapi cabaran apabila beraksi di tempat lawan.
“Tidak dinafikan ia perlawanan yang dianggap ‘final’ bukan sahaja bagi kami malah JDT juga kerana kedua-dua pasukan mahu memburu kedudukan terbaik dalam kumpulan ini malah saya lihat kedua-dua pasukan juga berjaya membentuk persekitaran yang baik untuk pembangunan bola sepak di Thailand dan Malaysia,” kata beliau pula.