Pemain tengah Estudiantes, Javier Mascherano mengucapkan selamat tinggal buat kancah bola sepak profesional selepas beliau mengumumkan persaraannya pada usia 36 tahun.
Keputusan yang diambil pemain kelahiran San Lorenzo, Argentina itu juga bermakna 17 tahun karier penuh dengan warna-warni dinikmatinya itu sudah pun sampai ke penghujung.
Mascherano memulakan karier profesional pada tahun 2003 bersama kelab gergasi Argentina, River Plate sebelum memilih untuk berkelana ke Brazil bagi menyarung jersi Corinthians selama semusim [2005/06].
Keputusan untuk menyertai West Ham United pada musim 2006/07 dilihat menjadi batu loncatannya buatnya dalam mengembangkan karier di Eropah apabila beliau berjaya menarik minat Liverpool dan hanya selepas memasuki penghujung Januari 2007, The Reds telah membawa Mascherano ke Anfield.
Bersama Liverpool, beliau menjadi sandaran utama buat pengendali pada ketika itu, Rafa Benitez di jentera tengah dan susulan sumbangan baiknya setiap kali beraksi menyaksikan Barcelona pula mahu mendapatkan khidmatnya.
Pelbagai kejayaan telah diraih olehnya ketika menyarung jersi skuad The Blaugrana tersebut, antaranya ialah dua trofi Liga Juara-Juara Eropah, dua kejuaraan Piala Dunia Kelab FIFA dan lima kali bergelar juara La Liga.
Selepas hampir lapan musim yang gemilang di Sepanyol, Mascherano melebarkan kariernya ke China untuk bersama Hebei China Fortune sebelum kembali ke negara kelahirannya pada musim lalu dengan menyertai Estudiantes.
Namun, tidak banyak yang dapat dikecapinya ketika bersama skuad kebangsaan Argentina di mana naib juara edisi 2014 di Brazil menjadi kenangan terbaik buatnya dalam saingan senior.
”Sekarang adalah waktunya untuk saya menamatkan karier saya kerana beberapa perkara yang terjadi kepada saya dalam beberapa bulan terakhir ini, secara peribadi dan selepas memikirkan sedalamnya tentang perkara ini, hal yang paling tepat adalah menamatkannya pada hari ini.”
”Saya telah menikmati pekerjaan saya dengan 100 peratus [komitmen], saya memberikan yang terbaik dan hari ini saya sedar bahawa amat sukar untuk saya dan keputusan ini bukannya tidak menghormati Estudiantes, yang mana mempercayai saya untuk kembali ke Argentina, atau rakan sepasukan dan pekerjaan ini.”
”Saya ingin mengucapkan terima kasi kepada Desabato [Jurulatih Estudiantes], kelab ini dan rakan sepasukan yang telah bersama saya buat kali terakhir,” ujar Mascherano menurut laporan Goal.
Kredit featured image: Gustavo Garello/Jam Media/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Javier Mascherano:
Video: Reaksi Di Bangku Simpanan Barcelona Ketika Mascherano Ambil Penalti
Barcelona Adakan Majlis Perpisahan Buat Mascherano Sebelum Perlawanan Menentang Espanyol