Kira-kira lima tahun lalu, Faiz Subri pernah berada di puncak kemasyhuran apabila ditabalkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA dalam satu majlis gilang gemilang yang berlangsung di Zurich Switzerland.
Pengalaman menerima trofi dari legenda Brazil, Ronaldo Nazario serta berpeluang untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bintang-bintang ternama dunia lain pasti menjadi detik paling indah dalam hidupnya.
Pencapaian itu turut membanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana 100 tahun lagi pun belum tentu ada mana-mana pemain dari negara ini mampu mengulanginya.
Can't imagine the feelings when II Fenómeno, Brazilian Ronaldo handed you such a majestic FIFA #PuskasAward. You were so lucky, Faiz Subri. pic.twitter.com/DyTQdlgvXR
— Roro O'Monstro🇲🇾⚫️⚪️🔴🇧🇷 (@Roromeo_MUFC10) January 10, 2017
Tahun kebangkitan
Bagaimanapun selepas dari itu, perjalanan Faiz Subri menjadi serba tidak kena. Jika air laut ada pasang surutnya, kariernya pula seolah-olah mengalami surut yang berpanjangan. Selepas meninggalkan Penang pada 2019, beliau seakan-akan ‘hilang dari radar’.
Faiz Subri menyertai kelab Liga M3 Northern Lions FC pada musim 2020 sebelum liga dibatalkan susulan Covid-19 dan pada musim lalu, beliau menyertai Kuala Kangsar FC tetapi sekali lagi terpaksa menangguhkan hasrat untuk beraksi atas faktor sama.
Namun selepas Penang mengumumkan kepulangannya, pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah ini menganggap musim 2022 sebagai tahun kebangkitan untuk kembali mencipta nama bersama selepas dua tahun tidak beraksi dalam Liga Malaysia.
Faiz Subri mengakui cukup teruja untuk kembali ke padang dan bersyukur apabila akhirnya diberi kepercayaan mempertaruhkan aksi selepas dua tahun menanti untuk mendapat tawaran daripada kelab.
Buang yang karat
Namun, pemain berusia 35 tahun ini sedar ia akan menjadi perjalanan yang cukup mencabar untuk kembali mendapatkan momentum terbaik memandangkan Penang juga mempunyai ramai pemain berkualiti selain sudah lama tidak merasai saingan di pentas Liga Super.
Sah Sertai Penang, Pemenang Anugerah Puskas FIFA Kembali Meriahkan Liga Super Musim Depan
“Banyak benda yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini kerana sepatutnya saya beraksi dalam Liga M3 terlebih dahulu, tetapi disebabkan Covid-19, saya terpaksa tangguh niat sehinggalah akhirnya musim ini dapat tawaran bersama Penang FC,” ujarnya kepada Media MFL.
“Tapi saya perlu masa untuk bangkit semula sebab dua tahun tidak beraksi dalam liga kompetitif apatah lagi tahap saingan adalah tinggi dengan beraksi di Liga Super.
“Saya pula sebelum ini berlatih sendiri sahaja di rumah, dan kali ini berlatih dalam satu pasukan, rasa suasana agak berbeza sedikit dan bukan senang untuk terus serasi.”
Otai masih berbisa
Dalam masa sama, Faiz Subri yang pernah beraksi bersama skuad Harimau Kumbang selama empat musim dari tahun 2015 ke 2018 mahu membuktikan kudratnya masih berbisa untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya meraih satu piala pada musim ini.
“Tahun ini memang kena kerja keras sebab bukan senang kita nak buktikan yang kita masih lagi mampu beraksi dengan baik di padang seperti dulu,” tambahnya lagi.
“Yang penting, saya nak menjadi sebahagian daripada pemain yang dapat bantu Penang meraih kedudukan lebih baik dan sekurang-kurangnya dapat menang satu trofi pada musim ini, insyaAllah.”