Andai kita berbicara mengenai pasukan Kuala Lumpur, sudah pastinya nama-nama seperti Fandi Ahmad, Malek Awab, Subadron Aziz, Ramlan Askolani dan ramai lagi nama besar yang pernah berbakti buat skuad warga kota itu menjadi bualan para peminat bola sepak tanah air.
Pasukan yang lebih menyinar pada era 80 dan 90-an itu berjaya menempa beberapa kejayaan yang dikenang hingga ke hari ini.
Antara kejayaan yang dikecapi adalah ketika menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut pada tahun 1987, 1988 dan 1989 serta turut menggondol dua Piala FA pada tahun 1993 dan 1994 sebelum kembali menjuarai saingan tersebut pada tahun 1999.
Namun selepas daripada kegemilangan itu, kelibat pasukan Kuala Lumpur seolah-olah seperti dilanda badai akibat prestasi yo-yo yang dipamerkan pasukan yang tidak keterlaluan untuk diperkatakan telah melahirkan ramai bakat berkualiti buat bola sepak negara.
Sekian lama merindukan aksi di Liga Super, Kuala Lumpur bakal kembali membuat penampilan selepas kali terakhir beraksi pada tahun 2012 apabila mereka bersama-sama Terengganu sudah mengesahkan tempat ke liga utama itu pada musim hadapan.
Pengalaman di Liga Super
2010
Sejak Liga Super diperkenalkan pada tahun 2004, skuad Kuala Lumpur baru menikmati tiga penampilan sahaja dalam 14 tahun penganjuran liga tertinggi tanah air itu setakat ini.
Penampilan pertama Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super adalah pada tahun 2010 yang ketika itu mereka berada di bawah kendalian Razip Ismail.
Ketika itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melarang penggunaan pemain import dalam Liga Super.
Dalam penampilan sulung tersebut, Kuala Lumpur mencatatkan 8 kemenangan, 8 seri dan 10 keputusan seri untuk mengumpul 32 mata untuk berada di tempat ke-9 daripada 14 pasukan yang bertanding pada tahun tersebut.
Satu kedudukan yang sudah cukup baik bagi sebuah pasukan yang baru sahaja dinaikkan pangkat buat pertama kali dalam saingan Liga Super.
Antara pemain yang membarisi skuad Kuala Lumpur adalah Yong Kuong Yong, Azidan Sarudin, Norazlan Razali dan Muhammad Shahrom Abdul Kalam. Badrul Hisyam Azmi menjadi pemain yang sering meletakkan nama sebagai penjaring buat Kuala Lumpur ketika ini.
2011
Bagi musim 2011, Kuala Lumpur bergelut untuk kekal di liga utama itu apabila menamatkan saingan di tempat ke-12 apabila mencatatkan 6 kemenangan, 8 seri dan 12 kekalahan bagi memungut 26 mata.
6 kemenangan yang dicatatkan tersebut hasil 3 kemenangan di tempat sendiri dan 3 lagi di tempat lawan.
Kemenangan di tempat sendiri yang dicatatkan adalah ketika menundukkan Sabah (1-0), T-Team (3-1) dan Perlis (3-0), manakala Kuala Lumpur berjaya menundukkan Negeri Sembilan (1-0), Pahang (2-0) dan turut menewaskan T-Team (3-2) di tempat lawan.
Di samping Muhammad Shahrom Abdul Kalam menjadi ketua pasukan pada ketika itu, Ahmad Hazwan Bakri turut menjadi tunjang kepada skuad warga kota ini.
2012
Musim yang gelap buat Kuala Lumpur menjelma apabila mereka hanya berjaya mengumpul 5 mata tanpa sebarang kemenangan dalam saingan liga musim tersebut.
Mereka hanya mampu menghasilkan 14 jaringan manakala telah dibolosi sebanyak 53 gol dalam 26 perlawanan.
Perpindahan beramai-ramai pemain utama seperti Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Fahrul Razi Kamaruddin, Norazlan Razali, Ahmad Azlan Zainal, See Kuok Luen, Nazrin Nawi dan ramai lagi menjadi punca utama kemeruduman aksi pasukan.
Selepas 3 tahun dalams saingan utama itu, Kuala Lumpur akhirnya kembali ke Liga Perdana 2013.
Pelbagai kemelut melanda pasukan
Selepas kembali ke saingan Liga Perdana, Kuala Lumpur terus dipalit kekecewaan apabila musim pertama berada di liga kedua tersebut akhirnya mereka terpaksa berdepan satu lagi episod duka apabila terperosok ke tangga di tangga ke-11 untuk beraksi di Liga FAM pada tahun berikutnya.
Tanpa mahu menyentuh isu sensitif yang menyelubungi pasukan ketika itu, Kuala Lumpur berusaha untuk bangkit dengan memberikan tanggungjawab kepada bekas pemain, Tang Siew Seng untuk memimpin pasukan dalam usaha kembali ke Liga Perdana 2015.
Awan mendung yang melanda Kuala Lumpur akhirnya berjaya diceriakan oleh anak buah Siew Seng apabila berjaya kembali ke Liga Perdana 2015 setelah menduduki tangga kedua Liga FAM 2014 dibelakang Kuantan FA.
Serius untuk berada dalam kedudukan dua tempat teratas Liga Perdana 2015, pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) telah merekrut jurulatih dari Portugal, Ricardo Formosinho yang kini merupakan salah seorang ‘scout’ di Manchester United untuk berkongsikan kepakaran beliau.
Namun harapan tinggi tersebut tidak menjadi kenyataan apabila kempen Liga Perdana kembali menyajikan cerita yang sama apabila Kuala Lumpur sekadar mampu menghuni tangga ke-11.
Formosinho juga hanya bertahan tidak sampai 3 bulan di Kuala Lumpur ekoran prestasi buruk yang ditampilkan anak buahnya. Tang Siew Seng kembali mengambil alih tugas tersebut.
Ketika saingan Liga FAM 2016 semakin menggamit Kuala Lumpur akibat berada di tangga ke-11, mereka agak bernasib baik kerana berpunca daripada kontrak Lions XII untuk beraksi di Malaysia yang sudah tamat dan menyebabkan penstrukturan pasukan yang tersingkir terpaksa dilakukan.
Kuala Lumpur akhirnya terselamat daripada kembali beraksi di Liga FAM.
Dua musim yang meyakinkan
2016
Memasuki tahun 2016, skuad warga kota hadir dengan semangat yang lebih kuat bagi memadam kekecewaan prestasi hambar yang dipamerkan pada musim sebelumnya.
Kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Helmi Rameli dan kembalinya semula Ahmad Azlan Zainal serta Fahrul Razi berjaya membentuk gandingan baik bersama pemain muda.
Walaupun gagal untuk melayakkan diri ke Liga Super, saingan yang diberikan Kuala Lumpur pada musim 2016 cukup untuk melihatkan kesungguhan skuad yang dibimbing Ismail Zakaria ini bagi merealisasikan impian untuk kembali ke liga utama berkenaan.
2017
Kehadiran pemain seperti Azmeer Yusof, Abdul Manaf Mamat, Hisyamudin Shaari, Ashri Chuchu serta penyerang prolifik, Guilherme De Paula sudah pasti menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara pilihan utama untuk kembali ke Liga Super musim hadapan.
KLFA yang diketuai Presiden, YBhg. Datuk Seri Adnan bin Hj. Md Ikshan turut menamakan Wanderley Junior sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Ismail Zakaria. Namun jodoh Junior dan Kuala Lumpur tidak kekal lama apabila lesen jurulatih dari Brazil itu dikatakan tidak diperakui oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Keadaan itu memaksa KLFA terpaksa menggantikan beliau dengan bekas ketua jurulatih Timor Leste yang berusia 39 tahun iaitu Fabio Joaquim Maciel da Silva atau lebih dikenali dengan nama Fabio Magrao.
15 kemenangan diraih, 2 seri dan 4 kekalahan untuk mengutip 47 mata musim ini dengan berbaki satu perlawanan berjaya membawa Kuala Lumpur kembali bersaing di Liga Super selepas mereka merindukan saingan tersebut selama 5 tahun.
Tidak dapat dinafikan bahawa keupayaan peledak berbisa, Gulherme De Paula yang berjaya menghasilkan 26 gol dalam aksi liga setakat ini menjadi sebagai salah satu punca kepada kebangkitan Kuala Lumpur berjaya menempah salah satu daripada dua slot ke Liga Super musim depan.
SemuanyaBOLA sempat menghubungi pemain pertahanan, Hisyamudin Shaari untuk mengulas mengenai kejayaan ini dan harapan beliau buat pasukan pada musim hadapan.
”Syukur Alhamdulillah atas rezeki Kuala Lumpur (KL) berjaya layak ke Liga Super. Ini semua atas usaha dan semangat berpasukan yang ada pada setiap pemain sambil dibantu oleh Coach Fabio (Magrao) yang bijak merencana bagi membolehkan KL layak ke Liga Super.”
”Harapan untuk pasukan supaya dapat mengekalkan momentum dan semangat berpasukan untuk menghadapi Liga Super 2018 nanti.”
Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan buat Kuala Lumpur !