Bercakap mengenai Arif Aiman Hanapi, segalanya mengenai pencapaian dan kehebatan beliau yang kita sedang lihat kini di atas padang selaku salah seorang bintang muda bernilai negara.
Menjadi aset buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Malaysia pada usia masih muda, tak ramai mengetahui bagaimana perjuangan beliau untuk menjadi seperti yang kita lihat sekarang.
Entah berapa kali beliau jatuh, memikirkan masa hadapan, atau mungkin terdetik di hati Arif untuk berputus asa sebelum kini beliau menyaingi nama-nama besar dalam arena bola sepak di Asia.
Pada awal pembangunan, Arif dikatakan sebagai bukan pilihan utama jika dibandingkan rakan-rakan lain yang menyerlah sehingga terpilih mewakili skuad kebangsaan.
“Kita tak tahu berapa banyak effort yang dia letak, passion dia, usaha dia, kesabaran dia, dedikasi dan kerja keras dia. Kita tak tahu berapa kuat tekanan dan kecewa dia. Kita tak tahu berapa kuat dia melawan dan bangkit semula.
“Sampai umur 16 tahun masih tak terpilih AFC B-16, tak dapat wakil Malaysia, tak dapat tembus skuad utama. Dengan usaha yang berterusan dan penuh kesabaran, lama gila duduk dekat team kedua. Umur 18 baru dia meletop,” ulas Muhammad Iddin bin Juraini selaku salah seorang jurulatih akar umbi di Malaysia.
Siapa sangka kini Arif bukan sahaja bergelar selaku Pemain Paling Bernilai untuk beberapa tahun di Malaysia, malah menjadi antara penjaring terbanyak di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) bersama JDT.
Walaupun saban tahun JDT mendaftarkan pemain-pemain baharu, adakah Arif disisihkan atau prestasi beliau menurun?
Jawapannya tidak, kerana pengalaman mendewasakan Arif untuk tidak mengenal erti kekalahan serta bersikap daya saing untuk terus menjadi muka utama JDT biarpun jurulatih bertukar ganti.
Mentaliti untuk bersaing
Tak ramai sebenarnya anak tempatan mampu bersaing dan tampil konsisten untuk tempoh lebih lama walaupun pada awal pembangunan memberi suatu harapan buat peminat.
Berapa ramai pemain tempatan lain sudah terkandas dan berada pada tahap yang sama sahaja walaupun usia masih lagi relevan?
Hanya Arif dan Faisal Halim antara anak tempatan yang masih membuktikan diri mereka akan terus bangkit walau jatuh berkali-kali dalam kekejaman sukan bola sepak profesional.
“Ini benda yang TMJ mahukan daripada pemain tempatan. Bukan nak bunuh sesiapa. Kena lawan! Semangat juang kena tinggi.
“Tak boleh bagi alasan, tak boleh salahkan sesiapa, tak boleh putus asa. Kena lawan je. Untuk hasilkan lebih ramai pemain berkualiti dan mampu bersaing dengan siapa sahaja,” kata Iddin lagi.
Sehingga kini, Arif terus mencipta fenomena tersendiri yang melahirkan rasa sensasi dalam kalangan peminat tempatan.
Tidak mustahil beliau akan terus tampil relevan atau ada lebih banyak kejayaan besar yang mampu dicapai Arif pada masa hadapan, kerana bagi beliau:
“Jatuh 1 kali 42 kali bangun, itulah Arif Aiman!”