Quantcast

KAJIAN & FAKTA

‘Jarum Halus’ Park Hang-seo Bakal Hantui Benteng Harimau Malaya?

Vietnam pastinya sudah mengkaji kelebihan dan kekurangan skuad negara menjelang aksi ketiga Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada malam nanti dan pertembungan kedua-dua pasukan ini menjanjikan satu persaingan menarik.

Kali terakhir kedua-dua pasukan berentap adalah dalam pentas final Kejohanan AFF 2018 yang menyaksikan Vietnam mengatasi Malaysia 3-2 secara agregat selepas terikat 2-2 di Bukit Jalil dan menang tipis 1-0 di Hanoi pada Disember yang lalu.

Tan Cheng Hoe tentunya sudah mengetahui kelemahan skuadnya terutama di bahagian benteng yang perlu diperkemaskan untuk meraih keputusan positif. Kemasukkan semula Aidil Zafuan diharapkan akan menghadirkan energi sihat di kubu negara.

Begitupun, Harimau Malaya perlu lebih berhati-hati sekiranya mahu meraih mata di sana. Semua sedia maklum dan sudah tentu Tan Cheng Hoe lebih arif mengenai kekuatan lawannya itu.

Kekuatan koridor kanan, buka ruang diekploitasi

Terang lagi bersuluh, kombinasi Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh di bahagian sayap kanan adalah sumber kekuatan utama skuad negara kali ini. Empat daripada enam gol ketika berdepan Sri Lanka adalah daripada koridor kanan, yang menjelaskan bahagian ini akan cuba ditutup sebaik mungkin oleh Park Hang-seo.

Disebabkan itu, pengendali kelahiran Korea Selatan itu gusar apabila Doan Van Hau tiba lewat ke kem latihan daripada Belanda kerana difahamkan pertahanan kiri itu adalah kunci untuk mengekang Matthew Davies dan juga Mohamadou Sumareh.

Selain kemampuan untuk bertahan, Van Hau juga adalah pemain bek sayap yang efektif dan jika pertahanan kelab SC Heerenveen itu berhasil mengekang serangan Malaysia, pertahanan wajar menjangkakan satu serangan balas pantas bakal dijananya.

Gandingan pertahanan tengah, Aidil Zafuan dan Shahrul Saad wajib untuk menjangkakannya dan bersedia untuk mengekangnya. Menurut media di sana, ‘Malaysia menyerang bagaikan pasukan ternama, tetapi bertahan bagaikan pasukan wanita‘.

Perkemas gandingan Aidil Zafuan dan Shahrul Saad

Harimau Malaya mungkin kuat dari seri menyerang tetapi masih belum cukup matang dari segi bertahan. Belum ada gandingan yang cukup ampuh di dua pertahanan tengah untuk memberikan kelegaaan kepada penyokong dan juga barisan kejurulatihan.

Dalam Kejohanan AFF 2018 yang lalu, ini juga adalah kelemahan skuad negara. Ketika menentang UAE dalam aksi kedua kumpulan, ruang antara dua bek tengah juga digunakan oleh Ali Mabkhout untuk melepasi Shahrul Saad seterusnya meledakkan gol.

Shahrul Saad Malaysia Jordan

FOTO: Aremilworks

Ketika menentang Indonesia pula, kurangnya kesefahaman antara Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin sekali lagi mengundang lawan menggegar jaring Malaysia. Dan atas dasar itulah, Aidil Zafuan telah kembali dipanggil untuk membaiki struktur benteng.

Ruang antara Aidil Zafuan dan Shahrul Saad perlu dikecilkan dan dikemaskan agar ‘jarum halus’ Naga Emas tidak dapat menyusup menerusinya lantas mengundang untuk gol oleh tuan rumah.

‘Jarum halus’ Naga Emas

Siapa ‘jarum halus’ Vietnam? Ini adalah pemain penting yang bakal menjadi pemusnah sekiranya terdapat sebarang kelonggaran kecil di bahagian tengah dan juga pertahanan skuad kebangsaan.

Vietnam dijangkakan akan menggunakan pemain kecil, pantas di ruang kecil dan kawalan bola yang baik untuk tugasan menyusup masuk di kawasan benteng skuad negara. Mereka sememangnya memiliki pemain yang mampu memenuhi deskripsi tersebut.

Nguyen Quang Hai, Nguyen Cong Phuong dan yang tersisih akibat kecederaan, Phan Van Duc adalah antara contoh pemain yang jelas terbukti bahaya buat benteng Harimau Malaya. Penulis merasakan Cong Phuong yang bakal diletakkan untuk tugasan tersebut.

Malaysia’s midfielder Muhammad Akhyar Abdul Rashid (yellow) fights for the ball with Vietnam’s forward Nguyen Cong Phuong (red-L) during the 2018 AFF Suzuki Cup group A football match at My Dinh National Stadium in Hanoi on November 16, 2018. (Photo by Manan VATSYAYANA / AFP) (Photo credit should read MANAN VATSYAYANA/AFP/Getty Images)

Dengan bermain secara high pressing, ruang antara pemain tengah dan pertahanan selalunya sangat luas dan untuk mengelak ianya lebih berisiko, pertahanan akan turut menaikkan posisi mereka. Ini juga memberi risiko jika berlaku serangan pantas dan perangkap offside berjaya dilepasi oleh ‘jarum halus’ mereka, Cong Phuong.

Semoga Tan Cheng Hoe dan para pemain akan bersedia dengan sebarang kemungkinan pada malam ini. Ia sebuah pertembungan menarik dan secara taktikalnya pasti mengujakan kerana kedua-dua pasukan adalah antara seteru ‘panas’ di Asia Tenggara kini.

Kredit Featured Image: The AFC